Zaman dahulu, selepas pulang menangkap ikan di laut, masyarakat Melayu Kelantan mempunyai cara tersendiri untuk menikmati hasil tangkapan.
Antara hidangan yang menjadi pilihan ialah lawar ikan atau kerabu lawar.
Namun, makanan tradisi yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat terdahulu itu kini semakin kurang dikenali, terutama dalam kalangan generasi muda.
Bimbang hidangan warisan itu terus dilupakan, seorang peniaga, Noraini Harun, 55, mengambil inisiatif memperkenalkannya semula di Kampung Kedai Buluh.
Menurut Noraini, lawar ikan biasanya menggunakan ikan tamban yang disiat sebelum diperah bersama limau nipis.
Ikan itu kemudian digaul bersama kacang panjang, daun kesum, hirisan bawang merah, cili kecil serta serbuk perasa.
“Saya lihat generasi sekarang tidak tahu apa itu lawar ikan dan seolah-olah ia kian dilupakan. Oleh itu saya mengambil inisiatif dengan memperkenalkannya semula.
“Lawar ikan berasaskan ikan tamban yang disiat dan kemudian diperah bersama limau nipis, digaul bersama kacang panjang, daun kesum, hirisan bawang merah, cili kecil serta serbuk perasa,” katanya.
Lebih menarik, resipi itu bukan diperoleh daripada buku masakan atau hasil percubaan sendiri.
Sebaliknya, ia merupakan resipi ibunya, Wan Minah Wan Nawang, 80, yang mahu melihat makanan tradisi tersebut terus dijual di kampung.
Kini, Noraini berharap lebih ramai orang mengenali semula lawar ikan dan menjadikannya sebagai hidangan keluarga.
“Saya harap generasi kini dan akan datang dapat menyediakan lawar ikan kepada keluarga bersama lauk pauk yang lain sebagai pembuka selera,” katanya.
Resipi yang diwarisi daripada ibu itu kini menjadi usaha Noraini untuk memastikan satu lagi rasa tradisi Kelantan tidak hilang begitu sahaja.
Sumber: Utusan
