Misi memburu mata pertama Liga Super Malaysia 2026/2027 menjadi tumpuan Kelantan Red Warrior FC (KRW) apabila menerima kunjungan Sabah FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Perlawanan ketujuh liga itu dijadualkan berlangsung pada jam 9 malam, sekali gus membuka peluang buat KRW untuk bangkit selepas melalui enam kekalahan berturut-turut.
KRW masih belum meraih sebarang mata selepas tewas dalam enam aksi terdahulu.
Kekalahan terbaharu menyaksikan KRW tunduk 2-5 kepada Star City FC dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad IV pada 16 Oktober lalu.
Justeru, pertemuan di laman sendiri malam ini menjadi peluang buat pasukan itu cuba mendapatkan keputusan positif di hadapan penyokong sendiri.
Bagaimanapun, misi KRW bukan mudah apabila bakal berdepan Sabah FC yang kini berada di kedudukan kelima liga dengan 10 mata.
Sabah hadir ke Kota Bharu dengan keputusan positif selepas menewaskan Terengganu FC 2-0 dalam aksi terakhir mereka pada 31 Oktober lalu.
Kemenangan malam ini pastinya menjadi sasaran Sabah bagi mengukuhkan kedudukan dalam kelompok pasukan teratas liga.
Perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV itu dijangka menjadi ujian penting buat KRW dalam usaha mencari mata pertama musim ini, manakala Sabah pula mahu meneruskan momentum kemenangan.
Perlawanan tersebut boleh disaksikan secara langsung di Astro Arena Bola 803 atau penyokong boleh hadir ke stadium dengan pembelian tiket online serendah RM16 disini: https://tickethotline.com.my/events/unifi-liga-super-malaysia-2026-2027-KRWvsSAB
