Lebih 100 Tahun, Mahkota Kesultanan Kelantan Buatan Tukang Tempatan Dipamerkan

Ketika kebanyakan negeri Kesultanan Melayu mendapatkan mahkota kebesaran dari England, Kelantan memilih jalan berbeza apabila mahkotanya dihasilkan oleh tukang Melayu tempatan.

Mahkota Kesultanan Kelantan yang berusia lebih 100 tahun itu dipercayai dibuat oleh tukang dari Kampung Kubang Pasu, Kota Bharu, sekali gus memperlihatkan kehebatan seni pertukangan emas masyarakat tempatan.

pameran mahkota Kesultanan Kelantan

Foto: Bernama


Menurut laporan Bernama, mahkota tersebut kini dipamerkan kepada orang ramai buat pertama kali sempena Festival Senjata Warisan Kelantan 2026 di Istana Balai Besar, Kota Bharu, yang berlangsung dari 16 Ogos hingga 5 September.

Pegawai Protokol Pejabat Sultan Kelantan, Mohamed Safaruddin Ismail berkata, mahkota itu diilhamkan Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Muhammad IV yang memerintah Kelantan dari 1920 hingga 1944.

Mahkota berkenaan mula digunakan pada 28 April 1921 ketika istiadat pertabalan baginda.

Pada istiadat tersebut, mahkota itu dipakaikan kepada Sultan Ismail oleh Tengku Temenggung Abdul Ghaffar ibni Almarhum Sultan Muhammad II, sekali gus menjadi sebahagian daripada sejarah pemerintahan Kesultanan Kelantan.

“Keunikan mahkota ini ialah ketika kebanyakan negeri membuat mahkota kebesaran di England, mahkota Kelantan pula dihasilkan oleh tukang Melayu Kelantan yang dipercayai berasal dari Kampung Kubang Pasu.

“Ia memperlihatkan kemahiran pertukangan emas masyarakat tempatan pada ketika itu yang mampu menghasilkan alat kebesaran diraja dengan nilai seni yang tinggi,” katanya.

Diperbuat daripada 16 Bungkal Emas

Menurut Mohamed Safaruddin, mahkota itu pada asalnya diperbuat daripada 16 bungkal emas sepuluh dengan ukiran motif daun ‘dala’ muda.

mahkota k

Foto: Bernama


Bahagian atasnya dihiasi lambang bulan sabit dan bintang berujung lima, manakala bahagian dalamnya beralaskan baldu biru raja.

Mahkota berkenaan kemudiannya melalui beberapa proses penambahan oleh Sultan-sultan Kelantan berikutnya.

Sebanyak 470 butir berlian serta 52 butir zamrud dan delima ditambah ketika pemerintahan Almarhum Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim.

Ketika pemerintahan Almarhum Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pula, sebanyak 721 butir berlian dan 44 butir zamrud ditambah pada mahkota berkenaan.

“Mahkota ini satu-satunya mahkota bagi Kesultanan Kelantan dan biasanya hanya dibawa keluar untuk diletakkan di sebelah kanan singgahsana ketika sambutan Hari Keputeraan Sultan, jadi bukan semua orang berpeluang melihatnya secara dekat,” katanya.

Pahar Emas Tulen Hampir Satu Kilogram

Pemilihan mahkota itu sebagai tarikan utama festival tahun ini dibuat selepas mengambil kira sambutan orang ramai terhadap pameran alat kebesaran Kesultanan Kelantan sebelum ini.

mahkota kelantan

Foto: Bernama


Pada 2024, keris Tok Chu bersama Sampir Kuseriwa dipamerkan, manakala artifak ufti diraja Bunga Emas menjadi tarikan utama pada tahun lalu.

Pahar yang digunakan untuk meletakkan mahkota tersebut pula diperbuat daripada emas tulen 999 dan dianggarkan seberat hampir satu kilogram.

“Sepanjang festival, kawalan keselamatan yang ketat dilaksanakan membabitkan anggota keselamatan awam,” katanya.

Festival berkenaan turut menampilkan pelbagai senjata tradisional, pitis dan khazanah warisan Kelantan.

Penganjur menyasarkan kehadiran 50,000 pengunjung tahun ini berbanding 42,000 pada tahun lalu.

Festival itu turut berpotensi menerima lebih ramai pelancong asing, khususnya dari Indonesia, susulan penerbangan terus Jakarta-Kota Bharu serta peningkatan kemudahan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!