Dua Maut, Seorang Parah Dalam Kemalangan MPV dan Bas Persiaran Di Gerik

Dua maut manakala seorang lagi cedera parah selepas Perodua Alza dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas persiaran di Jalan Raya Timur Barat, Gerik, pada Isnin.

Kejadian dilaporkan berlaku selepas kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.40 tengah hari.

Bagaimanapun, jentera bomba hanya tiba di lokasi kira-kira jam 2.50 petang.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa yang merupakan warga tempatan ditemui tersepit di dalam Perodua Alza berkenaan.

"Mangsa lelaki berusia 64 tahun yang memandu kenderaan berkenaan dan seorang wanita berusia 58 tahun di tempat duduk penumpang hadapan disahkan meninggal dunia.

"Seorang lagi mangsa lelaki berusia 28 tahun yang berada di tempat duduk belakang pula mengalami kecederaan parah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dua mangsa di bahagian hadapan maut

Sabarodzi berkata, ketua operasi terlebih dahulu melakukan penilaian situasi sebelum anggota bomba menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat.

Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan sebelum dua individu yang berada di bahagian hadapan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mangsa yang cedera parah pula dihantar ke Hospital Gerik menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pemandu dan penumpang bas terselamat

Dalam pada itu, Sabarodzi memaklumkan pemandu bas persiaran, dua pembantu serta 30 penumpang yang berada di dalam bas berkenaan terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Operasi menyelamat membabitkan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik serta BBP Jeli, dengan bantuan enam anggota polis dan dua anggota KKM.

"Operasi dikawal pada jam 3 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 3.30 petang," katanya.



Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!