Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff mengalami kecederaan di bahagian dada dan perut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan kendiri di Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU), Kechau Tui, Lipis, Pahang pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, SUV jenis Proton X70 berkenaan dipandu oleh anak perempuan mangsa yang berusia 26 tahun.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kedua-dua beranak itu dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan menuju ke Kuala Lumpur atas urusan kerja.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu hilang kawalan sebelum kenderaan itu berpusing dan melanggar penghadang jalan di sebelah kanan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai pemandu SUV berkenaan hilang kawalan sebelum kenderaan itu berpusing dan melanggar penghadang jalan di sebelah kanan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penumpang iaitu Ahli Parlimen Rantau Panjang mengalami kecederaan di bahagian dada serta perut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Siti Zailah Dikejarkan Ke Hospital
Ismail berkata, Siti Zailah yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk menerima rawatan lanjut.
Kejadian itu berlaku di Kilometer 7, LTU, Kechau Tui.
Menurut beliau, kes berkenaan masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis turut meminta kerjasama orang ramai atau mana-mana saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.
Dalam masa sama, pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa memandu dengan berhati-hati, berhemah dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.
