Guru Didakwa Esok Kes Rempuh Pelajar Hingga Maut Di SMK Tanjong Mas

Selepas hampir enam bulan tragedi yang meragut nyawa seorang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Kota Bharu, seorang guru Pendidikan Islam yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu akan didakwa di mahkamah esok.

Guru wanita berusia 57 tahun itu dijadualkan berdepan pertuduhan di Kompleks Mahkamah Kota Bharu susulan insiden yang berlaku pada 12 April lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat, mengesahkan wanita berkenaan akan menghadapi dua pertuduhan.

Pertuduhan pertama adalah mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian, manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 336 kanun sama berkaitan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.

Pelajar 13 Tahun Maut Di Lokasi Kejadian

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang bapa luluh hati apabila melihat anaknya sudah tidak bernyawa di dalam surau sekolah selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.50 tengah hari di kawasan SMK Tanjong Mas.

Mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd. Azaudin, 13, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Guru berkenaan dipercayai tertekan pedal minyak sebelum kenderaan itu merempuh pelajar terbabit.

Prosiding mahkamah esok dijangka menjadi perkembangan seterusnya dalam kes yang mengundang perhatian ramai itu.

BERKAITAN:
Pelajar Tingkatan Satu Maut Dirempuh Kereta Ketika Pakai Kasut Depan Surau Sekolah
“Sebagai Bapa, Saya Maafkan Guru Berkenaan” – Bapa Pelajar Maut Dirempuh Di Sekolah
Tragedi Pelajar Maut Di Kota Bharu Perlu Jadi Iktibar, Elak Kecuaian – PM
Mangsa Kedua Insiden SMK Tanjong Mas Akan Jalani Pembedahan Tampalan Cuping Telinga
Pelajar Parah Dirempuh SUV Di SMK Tanjong Mas Dibenar Keluar Hospital

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!