Jururawat Hospital Selayang Dan Suami Maut Kemalangan, Tinggalkan Anak Lima Tahun

Seorang jururawat Hospital Selayang dan suaminya maut selepas motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Sungai Buloh, susur masuk ke Sierramas, petang Rabu.

Mangsa, Noor Atirah Yacob, 31, dilaporkan bertugas sebagai Jururawat Terlatih di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Selayang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan sebuah lori dan motosikal kira-kira pukul 3.50 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 2.50 petang apabila motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna coklat yang ditunggang suami Noor Atirah, berusia lingkungan 30-an, hilang kawalan sebelum melanggar sebuah lori.

“Akibat kemalangan itu, penunggang serta pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu lori yang juga lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemandu lori negatif dadah

Shamsudin berkata, pemandu lori berkenaan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

KKM sifatkan sebagai kehilangan besar

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyifatkan pemergian Noor Atirah sebagai satu kehilangan buat seluruh keluarga besar Kementerian Kesihatan (KKM).

“Segala jasa, keringat dan bakti yang dicurahkan beliau sebagai wira barisan hadapan dalam menyelamatkan nyawa dan merawat pesakit pastinya akan sentiasa dihargai dan dikenang.

“Bagi pihak KKM, saya merakamkan salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarhamah. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam mendepani ujian kehilangan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Beliau turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang solehah.

Difahamkan, Noor Atirah dan suaminya yang kedua-duanya berasal dari Tumpat, Kelantan, meninggalkan seorang anak lelaki berusia lima tahun.

Sumber: Kosmo!

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!