Penunggang Y15ZR Maut Bertembung Toyota Vios Di Temangan, Machang

Seorang lelaki berusia 28 tahun maut selepas motosikal Yamaha Y15ZR yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta Toyota Vios dalam kemalangan di Kampung Belukar Panjang, Temangan, Machang, tengah hari Rabu.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Azuhar Md Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan maut itu yang berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Menurut beliau, siasatan awal Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) IPD Machang mendapati Toyota Vios yang dipandu lelaki tempatan berusia 30 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Paloh Rawa menghala ke Temangan.

Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal dari arah bertentangan yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta berkenaan.

Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu Toyota Vios bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris keluarga.

Azuhar berkata, kes berkenaan diklasifikasikan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pihak polis kini sedang mengesan saksi bebas di tempat kejadian selain meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran bagi melengkapkan kertas siasatan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Fatin Nurhanis binti Ibrahim di talian 09-9751222.

Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam kenyataan sama, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa peka, berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas, khususnya ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!