Murid SJKC Di Kota Bharu Cipta Kejutan Muncul Johan Tilawah Al-Quran

Ramai mungkin tidak menyangka seorang murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Kota Bharu ini mampu mencipta kejayaan dalam pertandingan tilawah al-Quran.

Namun, itulah yang dibuktikan oleh Yuki Raisha Mohd Thirmidzi, 11, apabila berjaya muncul johan pertandingan tilawah al-Quran peringkat zon sekali gus mengharumkan nama sekolahnya.

Lebih menarik, kejayaan itu hadir selepas Yuki hanya membuat persiapan selama lima hari sebelum pertandingan dengan bimbingan bapanya, Mohd Thirmidzi Ibrahim, 41.

Walaupun bukan guru agama dan tidak pernah menyertai pertandingan tilawah sebelum ini, Mohd Thirmidzi mengambil tanggungjawab membimbing anaknya selepas guru sekolah tidak dapat membantu kerana kekangan masa.

Pada awalnya, beliau menyangka Yuki akan mendapat bimbingan daripada guru sekolah sebelum pertandingan yang berlangsung pada April lalu.

Namun, apabila perkara itu tidak dapat dilakukan, beliau memilih untuk turun padang sendiri membantu anaknya membuat persiapan bagi mempersembahkan bacaan Surah al-Baqarah.

“Saya ibarat bidan terjun sebenarnya kerana pada awalnya menyangka guru yang akan membimbing anak sebelum menyertai pertandingan pada April lalu.

“Tapi guru itu tak dapat membantu kerana kesuntukan masa jadi saya ambil inisiatif mengajar anak yang mempersembahkan bacaan surah al-Baqarah,” katanya.

Menurut Mohd Thirmidzi, dia hanya mempunyai asas mengaji dan minat untuk membantu anaknya memberikan persembahan terbaik.

Beliau turut mengakui agak tegas ketika melatih Yuki kerana mahu anaknya bersedia walaupun belajar di SJKC.

“Kalau menonton video di TikTok itu, saya nampak garang kerana nak anak buat yang terbaik dan memang kena tegas kerana dia belajar di SJKC, jika tidak akan ketinggalan,” katanya.

Hasil usaha itu akhirnya membuahkan kejayaan apabila Yuki dinobatkan sebagai johan pertandingan tilawah al-Quran peringkat zon.

Menurut bapanya, kemenangan itu cukup bermakna kerana ia merupakan kali pertama wakil sekolahnya berjaya memenangi pertandingan tersebut.

“Syukur Allah SWT izinkannya bergelar juara dan ia pencapaian yang baik buatnya kerana itu kali pertama wakil sekolahnya memenangi pertandingan tilawah al-Quran,” katanya.

Kejayaan tersebut turut melayakkan Yuki mewakili SJKC Chung Hwa ke pertandingan tilawah al-Quran peringkat daerah pada Mei lalu.

Walaupun tidak berjaya meraih kedudukan dalam pertandingan peringkat daerah, Mohd Thirmidzi menyifatkan pengalaman itu tetap memberi nilai besar kepada anaknya.

Katanya, setiap penyertaan membantu Yuki meningkatkan keyakinan diri selain memperbaiki mutu bacaan al-Quran.

Kisah Yuki menjadi bukti bahawa latar belakang sekolah bukan penghalang untuk seseorang anak menyerlah dalam bidang yang diminati.

Dengan usaha, disiplin serta sokongan keluarga, setiap anak berpeluang mengembangkan bakat mereka dan mencipta kejayaan tersendiri.

@hmetromy

Biarpun datang dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Yuki Raisha Mohd Thirmidzi, membuktikan dirinya mampu mewakili sekolahnya seterusnya bergelar johan pertandingan tilawah al-Quran peringkat zon.

♬ original sound - Harian Metro - Harian Metro


Sumber: Sirap Limau, Harian Metro

TERKINI

Lamine Yamal ‘Versi Kelantan’ Curi Perhatian Ketika Tayangan Akhir Piala Dunia
|
Bukan sahaja aksi final Piala Dunia FIFA menjadi tumpuan,…
Kelantan Kini Pengeluar Mangan Ketujuh Terbesar Dunia
|
Ramai mungkin tidak mengetahui bahawa Kelantan kini berada pada…
Kelantan Roboh Premis Dan Tiga Rumah Haram Dibina Etnik Rohingya di Tanah Merah
|
Kerajaan Kelantan mengambil tindakan merobohkan sebuah premis dan tiga…
Kelantan RW Bertemu Selangor FC Dalam Aksi Pembukaan Liga Super
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) bakal membuka kempen…
Ketua Polis Balai di Kelantan Wajib Buat Sekurang-kurangnya Satu Tangkapan Dadah Sehari
|
Polis Kelantan memperkenalkan strategi baharu dalam usaha membanteras penyalahgunaan…
Tiga Lelaki Maut, Lori Ayam Rempuh Treler di Tanah Merah
|
Perjalanan tiga lelaki membawa bekalan ayam dari Perak ke…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!