Lovely Sabana Mulakan Langkah Baharu Mengejar Impian Menjadi Guru

Impian Lovely Sabana Augustine untuk melanjutkan pengajian ke menara gading akhirnya menjadi kenyataan apabila gadis dari Tumpat, Kelantan itu mendaftar sebagai mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim semalam.

Lovely, 20, kini mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam bidang Pendidikan Moral selepas sebelum ini berdepan kekangan kewangan untuk meneruskan pengajian.

Kejayaan itu cukup bermakna kerana Lovely memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Cabang Empat, Tumpat.

Menurut kenyataan UPSI, Lovely hadir bagi menyempurnakan pendaftaran ditemani ibunya, E P Mek Kenui, 56, yang bekerja sebagai pekerja pembersihan serta beberapa ahli keluarga lain.

Dua abangnya yang bekerja di premis makanan di Johor turut meluangkan masa untuk menghantar adik mereka memulakan lembaran baharu sebagai mahasiswa.

Mahu Mengubah Kehidupan Keluarga

Lovely yang berketurunan Kadazan-Siam melahirkan rasa syukur dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh bagi merealisasikan impiannya menjadi pendidik.

Dia juga berharap kejayaan dalam pengajian kelak dapat membantu mengubah kehidupan keluarganya.

“Saya terharu dan berterima kasih kepada semua pihak atas sumbangan yang diberikan kepada saya. Semoga kebaikan anda dibalas dengan keberkatan. 

“Saya mungkin tidak mampu untuk membalas jasa kalian semua. Saya hanya manusia biasa sekiranya suatu hari jatuh atau tidak dapat mencapai semuanya doakanlah saya kerana ada hari di atas ada hari di bawah,” katanya.

Lovely berkata, dia menerima panggilan temu duga bagi dua program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, iaitu Pendidikan Bahasa Melayu dan Pendidikan Moral.

Dia kemudiannya ditawarkan mengikuti program Pendidikan Moral.

UPSI Harap Lovely Kembangkan Bakat

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin berharap Lovely bukan sahaja mengejar kecemerlangan akademik, malah aktif serta mengembangkan bakat sepanjang tempoh pengajiannya.

“UPSI hari ini bukan lagi seperti puluhan tahun dahulu, malah ramai pelajar melakar sejarah mencipta kejayaan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Menurut beliau, UPSI mempunyai pelbagai kemudahan serta menawarkan suasana pembelajaran yang kondusif dan selesa untuk dimanfaatkan Lovely.

Pada 17 Ogos lalu, media melaporkan Lovely memerlukan bantuan kewangan untuk mendaftar pengajian di UPSI pada September selepas kisahnya tular di Facebook.

Dia ketika itu turut memerlukan sebuah komputer riba bagi menyokong pembelajarannya.

UPSI kemudian mengenal pasti masalah yang dihadapi Lovely dan mengambil tindakan proaktif berhubung bantuan yang diperlukannya untuk melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.

Bapa Lovely, mendiang Augustine Sandalun merupakan anggota tentera di Kem Lok Kawi, Sabah. Mendiang yang berketurunan Kadazan dan berasal dari Papar, Sabah meninggal dunia akibat serangan angin ahmar pada 10 November 2017 ketika Lovely berusia 11 tahun.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!