Pelajar UMK Cipta Kejutan Raih Anugerah Emas ‘Water Filter Innovation Challenge 2026’

Pelajar Fakulti Sains Bumi (FSB), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mencipta kejutan apabila berjaya meraih Anugerah Emas pada Water Filter Innovation Challenge 2026, sempena UKM Geoscience Carnival 2026 yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.

Kejayaan itu membolehkan pasukan berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala serta sijil penghargaan selepas menewaskan 30 kumpulan peserta lain daripada universiti dalam dan luar negara serta wakil industri.

Pasukan pelajar FSB UMK terdiri daripada Amal Binti Ahmad Fathan, Nur Anis Syakilla Binti Abu Bakar Saari dan Nurul Syazwani Binti Mohd Idrus, dengan bimbingan pensyarah Fakulti Sains Bumi UMK, Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Faiz Mohd Amin selaku penyelia projek.

Menurut Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Faiz, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada kursus Teknologi Rawatan Air yang direka menggunakan pendekatan tugasan berasaskan projek (project-based learning) bagi mendedahkan pelajar kepada cabaran sebenar berkaitan kualiti air dan rawatan air bersih.

Beliau berkata, pertandingan peringkat kebangsaan itu berfungsi sebagai platform inovasi berteraskan sains dan teknologi dengan penekanan terhadap pembangunan sistem penapisan air yang efektif, mampan serta mesra alam.

“Pelajar bukan sahaja belajar teori di bilik kuliah, malah dikehendaki mereka bentuk, membina dan menguji sistem penapisan air secara praktikal.

“Dalam pertandingan ini, pelajar UMK berjaya menghasilkan sistem penapis air yang mampu menurunkan kekeruhan air mentah secara signifikan serta mengurangkan beberapa parameter kritikal kualiti air, sekali gus meningkatkan kualiti air ke tahap lebih bersih dan sesuai untuk rawatan lanjut.

“Sistem ini menggunakan bahan kos efektif dan mudah diperoleh, menjadikannya berpotensi diaplikasikan khususnya di kawasan luar bandar dan komuniti yang berdepan isu bekalan air bersih,” katanya.

Sementara itu, Ketua Program Sains Kelestarian Alam Sekitar FSB, Gs. Dr. Amal Najihah Muhamad Nor berkata, UMK menghantar lima pasukan untuk menyertai pertandingan anjuran Program Geosains, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), UKM itu.

Menurut beliau, seramai 15 peserta mewakili UMK terdiri daripada 14 pelajar Tahun 3 Program Sains Kelestarian Alam Sekitar dan seorang pelajar Program Geosains, dengan bimbingan tujuh mentor Fakulti Sains Bumi.

“Cabaran utama pertandingan ini adalah menapis air kotor menjadi air bersih menggunakan bahan kitar semula dan geomaterial.

“Setiap pasukan perlu membina penapis air secara on-site dalam tempoh dua jam, dengan masa penapisan selama 15 minit serta menghasilkan minimum 500 mililiter air bersih,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Kerjasama Industri Universiti (CUIC), Pejabat Timbalan Naib Canselor (HEPA), UMK Entrepreneurship Institute (UMK EI), Fakulti Sains Bumi UMK serta semua mentor yang terlibat.



Sumber: Universiti Malaysia Kelantan (Rasmi)

TERKINI

Negara Diancam “Melayu Phobia”, Perlu Akta Khusus Lindungi Asal Usul Melayu
|
Kerajaan digesa menggubal satu akta khusus yang memperuntukkan bahawa…
[VIDEO] Pelancong Indonesia Tertarik Penggunaan Tulisan Jawi Di Kelantan
|
Sejak penerbangan terus Jakarta-Kota Bharu dibuka pada 16 Jun…
Kereta Bawa 200,000 Batang Rokok Seludup Terbabas Dalam Tali Air Di Tumpat
|
Cubaan seorang penyeludup meloloskan diri daripada ditahan Pasukan Gerakan…
12 Pegawai Polis Ditahan Disyaki Peras Ugut Warga China RM2 Juta
|
Seramai 12 pegawai polis pelbagai pangkat ditahan selepas dipercayai…
Mbarga, Musa Dijangka Turun Beraksi Dalam Pusingan 16 Piala FA Golok
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) bakal meneruskan cabaran…
Wayang Kulit Kelantan Makin Sukar Bertahan, Permit Dan Kekurangan Pelapis Jadi Cabaran
|
Ramai menyangka Wayang Kulit Kelantan sudah tidak lagi diminati.Hakikatnya,…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!