Lelaki Dicekup Selepas Diekori 30KM, 1.2 Tan Minyak Masak Subsidi Dirampas

Taktik seorang lelaki membawa hampir 1.2 tan minyak masak bersubsidi dipercayai untuk diseleweng terbongkar selepas kenderaannya diekori sejauh kira-kira 30 kilometer sebelum diberkas dalam Ops Tiris 4.0 di Kampung Pauh Lima, Bachok, pada petang Sabtu.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, suspek berusia 43 tahun itu ditahan sekitar jam 3.20 petang selepas pasukan operasi mengekori sebuah Proton Exora dari kawasan Tok Bali.

Menurut beliau, operasi bersepadu itu melibatkan Unit Risikan dan Tindakan Khas (URTK) KPDN Kelantan bersama Pasukan Polis Marin, Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh serta KPDN Cawangan Pasir Mas.

“Pasukan melakukan gerakan risikan dan pemantauan sebelum mengesan sebuah kenderaan mencurigakan di Tok Bali.

“Kenderaan itu kemudian diekori hampir 30 kilometer sebelum berjaya ditahan di Jalan Hulu Masjid Pauh Lima, Kampung Pauh 5,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan sebanyak 1,292 kilogram minyak masak bersubsidi pelbagai jenama dipercayai untuk tujuan penyelewengan.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan RM13,230.

Menurut Aswadi, suspek mengaku tinggal berhampiran kawasan sempadan dan mendakwa baru pertama kali ditahan pihak berkuasa kerana menjalankan aktiviti berkenaan.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan.

Tambah beliau, KPDN Kelantan akan terus memperkukuh operasi risikan dan tindakan bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain terutama di kawasan sempadan serta laluan panas bagi membanteras ketirisan barang kawalan bersubsidi.


Sumber: Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

Kelantan RW Bertemu Selangor FC Dalam Aksi Pembukaan Liga Super
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) bakal membuka kempen…
Ketua Polis Balai di Kelantan Wajib Buat Sekurang-kurangnya Satu Tangkapan Dadah Sehari
|
Polis Kelantan memperkenalkan strategi baharu dalam usaha membanteras penyalahgunaan…
Tiga Lelaki Maut, Lori Ayam Rempuh Treler di Tanah Merah
|
Perjalanan tiga lelaki membawa bekalan ayam dari Perak ke…
Persis Binatang, Lelaki Rogol Dan Samun Di Palekbang Rupanya Berdepan 2 Lagi Kes
|
Persis Binatang, Lelaki Rogol Dan Samun Di Palekbang Rupanya…
Lelaki Maut Dilanggar Lari Ketika Pasang Bendera Parti
|
Seorang lelaki maut selepas dipercayai dilanggar sebuah lori yang…
SPRM Kelantan Tahan Ketua Balai Polis, Direman 7 Hari Kes Rasuah RM500
|
Seorang ketua balai polis direman selama tujuh hari bermula…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!