"Kalau Tak Buat Kerja Ini, Apa Lagi Saya Boleh Buat..."
Di sebalik rampasan lebih 10 tan minyak masak bersubsidi di Bachok, terselit satu pengakuan yang mengundang pelbagai reaksi.
Menurut laporan Utusan Malaysia, pemandu lori berusia 49 tahun yang ditahan KPDN mengaku dia menjadikan kerja sebagai 'transporter' sindiket penyeludupan untuk menyara isteri dan anak-anak.
Lebih mengejutkan, lelaki itu mendakwa dia sudah 10 kali ditangkap sebelum ini atas pelbagai kes termasuk penyeludupan beras Siam.
Namun dia tetap kembali melakukan pekerjaan sama.
"Jika tidak buat kerja ini, apa lagi saya boleh buat," katanya.
Menurut pengakuannya, dia hanya menerima RM300 bagi membawa 600 kotak minyak masak paket bersubsidi dari Lembah Klang ke Kelantan.
Sindiket pula menyediakan lori serta wang tunai RM1,500 untuk menampung kos perjalanan.
Bagaimanapun, operasi KPDN di Kampung Pauh Sembilan berjaya mematahkan cubaan penyeludupan tersebut sebelum minyak masak itu dipercayai dibawa ke negara jiran.
Kes kini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sumber: Utusan
