Cubaan Seludup Petrol Gagal, Suspek Mengaku Mahu Jual Di Thailand

Taktik menyeludup petrol bersubsidi ke negara jiran akhirnya terbongkar apabila dua lelaki dan seorang wanita warga Thailand ditahan dalam Ops Tiris yang dijalankan di Kompleks ICQS Rantau Panjang, Pasir Mas, kelmarin.

Operasi yang dijalankan kira-kira jam 7.30 pagi oleh KPDN cawangan Pasir Mas itu berjaya mengesan cubaan menyeludup barang kawalan melibatkan petrol yang dipercayai untuk dijual di Thailand.

Hasil sekatan mendapati tiga kenderaan jenis Proton Waja dipandu warga Thailand berusia antara 35 hingga 56 tahun ditahan selepas disyaki menyalahgunakan petrol bersubsidi.

Gagal Tunjuk Resit, Tak Boleh Jelaskan Lokasi Pengambilan

Pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga kenderaan diisi penuh petrol pada tangki asal. Bagaimanapun, kesemua suspek gagal mengemukakan sebarang resit pembelian, lokasi pengambilan serta alasan munasabah bagi pengisian bahan api tersebut.

Siasatan awal turut mendapati kesemua suspek mengaku petrol yang dibawa itu dipercayai untuk dijual di Thailand.

160 Liter Petrol Dirampas, Nilai Keseluruhan Cecah RM15,619.20

Dalam kes pertama, seorang lelaki berusia 53 tahun ditahan bersama sebuah Proton Waja dan 50 liter petrol dengan nilai rampasan keseluruhan RM5,193.50.

Bagi kes kedua, seorang lelaki berusia 56 tahun pula ditahan dengan rampasan 60 liter petrol serta kenderaan, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM5,232.20.

Manakala kes ketiga melibatkan seorang wanita berusia 35 tahun dengan rampasan 50 liter petrol dan kenderaan, menjadikan jumlah nilai keseluruhan rampasan RM5,193.50.

Secara keseluruhan, rampasan melibatkan petrol sebanyak 160 liter dengan nilai keseluruhan RM15,619.20.

Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Seksyen 8(4)(a) akta sama kerana disyaki memiliki barang kawalan dengan niat untuk menyeleweng.


Sumber: KPDN Kelantan

SHARE:

TERKINI

“Sebagai Bapa, Saya Maafkan Guru Berkenaan” – Bapa Pelajar Maut Dirempuh Di Sekolah
|
Tragedi pilu yang meragut nyawa pelajar Tingkatan Satu, Nur…
Guru Disyaki Rempuh Dua Pelajar Depan Surau Sekolah Di Kota Bharu Dibawa Ke Mahkamah
|
Kes kemalangan tragis yang mengorbankan seorang pelajar Tingkatan Satu…
Iran Telah Lama Bersedia Hadapi Perang Berpanjangan Selama 6 Bulan
|
Iran dilaporkan bersedia menghadapi kemungkinan perang berpanjangan sehingga enam…
Tragedi Pelajar Maut Di Kota Bharu Perlu Jadi Iktibar, Elak Kecuaian – PM
|
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tragedi yang…
Tular Video Pemandu Bas Didakwa Pandu Sambil Meriba Wanita
|
Satu video yang tular di media sosial mencetuskan kemarahan…
AS Dakwa China Bersedia Hantar Sistem Pertahanan Udara Baharu Kepada Iran
|
Perisikan Amerika Syarikat (AS) mendakwa China sedang bersiap sedia…
Jawatan Kosong Kelantan