Tindakan nekad sepasang kekasih memecut kereta sehingga cuba merempuh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika pemeriksaan membawa padah apabila mereka ditahan di Jalan Kampung Tengah Geting, Tumpat, pada Isnin.
Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu bermula apabila anggota Strike Force Kompeni B Batalion 7 PGA yang menjalankan Op Taring Wawasan mengesan sebuah Proton Satria Neo berwarna merah dalam keadaan mencurigakan di sekitar Pulau Tengkorak.
Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, sebaik menyedari kehadiran anggota PGA, pemandu kereta berkenaan bertindak memecut sebelum cuba melanggar anggota yang menghampirinya untuk pemeriksaan.
Anggota kemudian mengejar kenderaan itu sebelum berjaya menahannya di Jalan Kampung Tengah Geting.
Menurutnya, anggota terpaksa memecahkan cermin tingkap hadapan dan belakang di bahagian pemandu bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan.
"Anggota terpaksa memecahkan cermin tingkap hadapan dan belakang di bahagian pemandu bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan.
"Pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki dan seorang wanita di dalam kenderaan terbabit," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Hasil pemeriksaan fizikal terhadap kedua-dua individu dan kenderaan itu tidak menemukan sebarang barang salah.
Bagaimanapun, pemeriksaan terhadap sebuah telefon bimbit jenis iPhone 11 Pro Max milik mereka menemukan beberapa video berunsur lucah yang disimpan dalam peranti berkenaan.
Kedua-dua individu berusia 22 dan 18 tahun itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.
Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati pasangan terbabit mengaku mempunyai hubungan kekasih dan berlaku perselisihan faham ketika berada di Pantai Geting sebelum lelaki berkenaan membawa wanita itu ke kawasan Pulau Tengkorak untuk berbincang.
"Mereka turut mengaku pernah ditahan atas kesalahan khalwat oleh Pejabat Agama Tumpat pada Oktober lalu dan dijadualkan menghadapi perbicaraan di Mahkamah Syariah Tumpat pada 18 November ini," katanya.
PGA turut merampas sebuah Proton Satria Neo dan telefon bimbit berkenaan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM8,500.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian
