Perjalanan seorang remaja lelaki etnik Rohingya yang dipercayai berjalan kaki tanpa hala tuju dari Kota Bharu ke Tumpat berakhir apabila dia ditahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Pengkalan Kubor pada Isnin.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, remaja berusia 17 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.30 pagi ketika anggota Task Force Batalion 9 PGA Kuala Terengganu menjalankan rondaan bermotosikal di kawasan berhampiran Stesen Bas Pengkalan Kubor.
Menurut beliau, remaja itu dilihat berjalan seorang diri di bahu jalan dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.
"Hasil pemeriksaan mendapati lelaki yang mengaku bernama Noor Mohamad Bashir Ahmad, warga Myanmar berketurunan Rohingya itu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
"Pemeriksaan lanjut turut mendapati tiada barang menyalahi undang-undang ditemukan, namun suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Hasil soal siasat awal mendapati remaja terbabit mengaku memasuki Malaysia hampir tiga tahun lalu melalui sebuah pangkalan haram di sekitar Tumpat.
Sepanjang berada di negara ini, dia tinggal dan menuntut di sebuah pusat tahfiz di Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Kulim, Kedah.
Selepas itu, remaja berkenaan menaiki bas ke Kota Bharu sebelum meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki ke Tumpat tanpa mempunyai sebarang destinasi atau hala tuju.
Beliau kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk menjalani ujian saringan air kencing dan didapati negatif dadah.
Suspek kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah IPD Tumpat untuk tindakan lanjut.
Ahmad Radzi berkata, PGA akan terus mempergiat rondaan serta pemantauan di kawasan sempadan Kelantan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), jenayah rentas sempadan dan aktiviti menyalahi undang-undang.
Sumber: Sinar Harian
