Cubaan seorang lelaki membawa 2,000 pil disyaki dadah jenis yaba gagal apabila dia ditahan polis dalam Op Tapis di hadapan tandas Lapang Sasar Rantau Manis, Gua Musang, Sabtu.
Suspek berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.30 petang ketika menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pemeriksaan dilakukan selepas suspek dikesan menunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap motosikal itu menemukan sebuah beg plastik hitam di dalam raga yang mengandungi beberapa bungkusan plastik berisi pil disyaki yaba.
"Ketika pemeriksaan polis menemukan beg plastik berwarna hitam dalam raga motosikal yang kemudian disahkan mengandungi beberapa bungkusan plastik berisi 2,000 biji pil disyaki dadah jenis Yaba dengan berat keseluruhan 200 gram.
"Nilai keseluruhan dadah dirampas dianggarkan RM20,000," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, polis turut merampas motosikal Yamaha Y15ZR yang digunakan suspek bagi membantu siasatan.
Ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine.
"Semakan rekod juga mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau berkaitan kesalahan dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Sik Choon Foo berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu lain yang terlibat serta mengesan sumber bekalan dadah berkenaan.
Sumber: Berita Harian
