LTU Seksyen 3J Sepanjang 6.95 Kilometer Mula Dibuka Hari Ini

Pengguna jalan raya kini boleh menikmati laluan baharu Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 3J yang menghubungkan Kampung Seberang Jelai ke Kampung Relong di Lipis, Pahang.

Jajaran sepanjang 6.95 kilometer itu mula dibuka kepada orang ramai pada Jumaat, 13 November 2026, jam 11.30 pagi selepas projek berkenaan siap sepenuhnya.

Projek bernilai RM339.7 juta itu disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya bersama Menteri Besar Pahang.

Menurut maklumat Kementerian Kerja Raya (KKR), projek berkenaan dilaksanakan oleh kontraktor Menang Idaman Sdn. Bhd. dan menerima Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 22 September 2026.

Skop pembinaannya merangkumi jalan berkembar empat lorong mengikut piawaian JKR R5, lima buah jambatan serta dua struktur Vehicular Box Culverts (VBC).

Turut dilaksanakan ialah pemasangan lampu jalan dan kerja-kerja pengalihan utiliti.

Sebahagian Laluan LTU Sudah Dibuka Sejak 2015

Pembukaan Seksyen 3J menjadi satu lagi perkembangan penting dalam pelaksanaan keseluruhan projek LTU sepanjang 299.4 kilometer yang menghubungkan Kuala Krai, Kelantan ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Pahang.

Dengan pembukaan jajaran terbaharu itu bersama sebahagian Seksyen 4A sepanjang 1.2 kilometer, jumlah keseluruhan laluan LTU yang sudah dibuka di Pahang sejak 2015 kini meningkat kepada 68.9 kilometer.

Pembangunan infrastruktur berkenaan dijangka meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya, selain memperkukuh hubungan antara kawasan.

Ia juga diharap dapat merangsang aktiviti sosioekonomi penduduk setempat di sepanjang koridor LTU.

KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia akan meneruskan pemantauan serta penyelenggaraan bagi memastikan kualiti jalan raya sentiasa berada pada tahap selamat dan cekap untuk digunakan.

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!