Gua Musang bakal menerima pembangunan sebuah loji pembuatan simen dan batu kapur bersepadu menerusi projek bernilai RM1 bilion yang mendapat pembiayaan daripada MBSB Bank Bhd.
Projek berkenaan melibatkan pembinaan loji simen berkapasiti 7,500 tan sehari selain operasi kuari batu kapur bagi memperkukuh bekalan bahan binaan, khususnya untuk memenuhi permintaan di Pantai Timur dan kawasan lain di Semenanjung Malaysia.
Pembangunan itu dijangka turut memberi kesan kepada ekonomi setempat menerusi pewujudan peluang pekerjaan, peningkatan aktiviti perniagaan serta pengukuhan rantaian bekalan industri pembinaan.
Pembiayaan RM1 Bilion Daripada MBSB Bank
MBSB Bank memeterai perjanjian pembiayaan bernilai RM1 bilion dengan WIH Malaysia Building Materials Sdn Bhd (WIHMY) bagi menjayakan pembangunan berkenaan.
WIHMY merupakan cabang operasi tempatan West China Cement Limited (WCC), yang beroperasi di bawah anak syarikat pelaburan antarabangsanya, Yaobai International Holding Limited.
Kemudahan pengeluaran itu akan dilengkapi teknologi pembuatan moden, sistem kecekapan tenaga dan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan pelepasan karbon.
Kedudukan Gua Musang yang berhampiran koridor infrastruktur utama turut dijangka memberi kelebihan kepada operasi pengeluaran serta pengedaran bahan binaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef, berkata pembiayaan itu mencerminkan komitmen bank berkenaan dalam menyokong projek yang menyumbang kepada pertumbuhan industri negara dan peralihan ke arah ekonomi lebih mampan.
"Projek WIHMY menggabungkan penciptaan nilai ekonomi dengan komitmen alam sekitar yang jelas dan boleh diukur, sekali gus membuktikan bagaimana pembiayaan yang bertanggungjawab dapat memacu pembangunan industri yang sejajar dengan aspirasi kelestarian negara," katanya dalam satu kenyataan.
Guna Teknologi Kurangkan Pelepasan Karbon
Menurut Rafe, pelaksanaan Surat Komitmen Peralihan (TCL) dan rangka kerja pemantauan alam sekitar akan memastikan aspek akauntabiliti serta ketelusan diterapkan dalam usaha penyahkarbonan projek berkenaan.
Pendekatan itu juga selaras dengan usaha MBSB Bank membantu pelanggan melaksanakan langkah pengurangan pelepasan karbon, selain mewujudkan nilai ekonomi jangka panjang.
Sebagai sebahagian daripada komitmen kelestarian, WIHMY akan menetapkan sasaran penyahkarbonan yang boleh diukur serta memantau prestasi alam sekitar secara berterusan.
Langkah itu turut menyokong sasaran mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Antara inisiatif utama yang dirancang ialah pemasangan sistem penjanaan kuasa pemulihan haba buangan berkapasiti 12 megawatt (MW), yang dijangka mampu membekalkan kira-kira 26 peratus daripada keperluan elektrik loji.
Penggunaan bahan api biojisim juga dirancang bagi menggantikan sehingga 30 peratus penggunaan arang batu dalam operasi pengeluaran.
Selain itu, loji berkenaan akan menggunakan teknologi Selective Non-Catalytic Reduction (SNCR) bagi mengurangkan pelepasan nitrogen oksida (NOx) kepada paras di bawah 400 miligram bagi setiap meter padu normal (mg/Nm³).
Teknologi simen rendah karbon, penggunaan bahan api alternatif serta peralatan kawalan habuk turut menjadi sebahagian daripada usaha mengurangkan kesan operasi terhadap alam sekitar.
WCC Komited Terhadap Malaysia
Sementara itu, Pengerusi WCC, Zhang Jimin, berkata perjanjian pembiayaan berkenaan merupakan pencapaian penting bagi WIHMY dan mencerminkan komitmen jangka panjang kumpulan itu terhadap Malaysia.
"Projek ini direka untuk menggabungkan teknologi pembuatan simen moden, kecekapan operasi dan tanggungjawab alam sekitar dalam sebuah fasiliti bersepadu," katanya.
Sumber: Berita Harian
