Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) dikhuatiri lemas di Sungai Kelantan ketika cuba melarikan diri daripada serbuan yang membongkar kegiatan kemasukan migran di Kampung Lembah Sireh, di sini, awal pagi Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, lelaki berkenaan dipercayai antara PATI yang cuba meloloskan diri ketika pasukan keselamatan melakukan pencarian semula di kawasan sungai berkenaan.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pencarian semula itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan, tiga lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga India.
Menurutnya, hasil soal siasat awal mendapati lelaki tempatan yang ditahan mengaku berperanan sebagai tekong darat.
“Hasil soal siasat lanjut, lelaki berkenaan memaklumkan seorang PATI dipercayai lemas di sungai tersebut ketika cuba melarikan diri,” katanya kepada pemberita.
Serbuan bongkar kegiatan kemasukan migran
Ahmad Radzi berkata, kejadian itu berlaku susulan serbuan pasukan Strike Force Kompeni B, Strike Force Kompeni A, Cawangan Risik dan Task Force Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kira-kira jam 10.30 malam Isnin.
Serbuan dilakukan susulan maklumat berkaitan aktiviti kemasukan migran di kawasan tepi Sungai Kelantan, Kampung Lembah Sireh.
“Hasil serbuan awal, kita menahan seorang lelaki warga India, enam lelaki dan tiga wanita warga Indonesia.
“Pasukan turut merampas sebuah kereta Nissan Almera serta motosikal Honda Vario,” katanya.
Kesemua tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
Menurut Ahmad Radzi, pencarian semula dilakukan selepas pasukan percaya masih terdapat baki PATI yang berada di kawasan sekitar sungai berkenaan.
Sumber: Sinar Harian
