Suami Isteri Warga Tempatan Ditahan, Jadikan Rumah Lokasi Transit PATI Di Pasir Puteh

Sebuah rumah kampung di Kampung Gong Serapat, Pasir Puteh dipercayai dijadikan lokasi transit pendatang asing tanpa izin (PATI) sebelum mereka dihantar ke Kuala Lumpur untuk bekerja.

Taktik itu terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu rumah berkenaan menerusi Op Taring Wawasan pada Jumaat lalu.

Menurut laporan Sinar Harian, serbuan tersebut membawa kepada penahanan lapan warga Indonesia serta sepasang suami isteri tempatan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi dilakukan berdasarkan risikan Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh.

Ketika pemeriksaan dilakukan, anggota PGA menemui tiga wanita warga Indonesia sedang bersembunyi di ruang tamu rumah tersebut.

Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemukan lima lelaki warga Indonesia berada di dalam sebuah stor di belakang rumah.

“Kesemua lapan warga Indonesia itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

“Turut ditahan ialah seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang dipercayai pemilik rumah berusia 41 dan 35 tahun,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Bayar RM4,000 Setiap Seorang

Siasatan awal mendapati kesemua warga Indonesia terbabit memasuki Malaysia dari Thailand melalui pangkalan haram di sekitar Sungai Kelantan pada 30 Julai lalu.

Mereka kemudian dibawa ke rumah berkenaan untuk ditempatkan sementara sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Menurut Ahmad Radzi, setiap individu mengaku membayar RM4,000 kepada ejen di Indonesia bagi menguruskan kemasukan mereka ke Malaysia.

“Siasatan turut mendapati kesemua mereka bercadang ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai buruh binaan dan pekerja pembersihan yang dipercayai akan diuruskan oleh seorang lelaki tempatan,” katanya.

PGA turut merampas 10 unit telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM22,000 serta beberapa barangan lain bagi membantu siasatan.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Negeri Ini Rupanya Mempunyai Sekolah Pondok Berdaftar Terbanyak Di Malaysia
|
Jika ditanya negeri manakah mempunyai sekolah pondok paling banyak…
JPJ Beri Amaran, Tarik Sokongan Program RXZ Jika Kesalahan Berulang
|
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi amaran mungkin tidak lagi…
Suami Isteri Warga Tempatan Ditahan, Jadikan Rumah Lokasi Transit PATI Di Pasir Puteh
|
Sebuah rumah kampung di Kampung Gong Serapat, Pasir Puteh…
Warga Emas Maut, Empat Cedera dalam Nahas Dua Kereta di Ketereh
|
Seorang wanita warga emas maut manakala empat lagi cedera…
KRW Perkenal Jersi Rasmi bagi Musim Liga Super 2026/2027
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW) secara rasmi memperkenalkan jersi…
[VIDEO] KRW Bangkit Dua Kali Ikat Melaka FC 2-2 di Kota Bharu
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW) dua kali bangkit daripada…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!