Seramai 128 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Kelantan selepas dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen dalam satu operasi di Kota Bharu pada Isnin.
Menurut laporan Bernama, operasi berkenaan dijalankan menerusi Ops Mega dan Ops Bersepadu di dua premis berasingan di Kota Bharu dan Kuala Krai.
Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Garry Belayong John Siki berkata, operasi yang bermula pada jam 8 pagi itu melibatkan pemeriksaan terhadap 316 individu.
Daripada jumlah tersebut, seramai 162 merupakan rakyat Malaysia manakala 154 lagi warga asing.
Operasi itu disertai 75 pegawai daripada beberapa agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Perhutanan Kelantan.
“Kesemua 128 warga asing yang diperiksa di lokasi kedua di Kota Bharu ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala tiada tangkapan dibuat di lokasi kilang papan di Kuala Krai yang melibatkan pemeriksaan terhadap 188 individu,” menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.
Kesemua warga asing yang ditahan berusia antara 12 hingga 61 tahun.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, tangkapan melibatkan 46 warga Bangladesh, 18 warga Indonesia, enam warga Myanmar dan empat warga Pakistan.
Sembilan lagi ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama.
“Di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 pula, tangkapan membabitkan 50 lelaki warga Bangladesh, lapan lelaki warga Indonesia, tiga lelaki warga Myanmar, tiga lelaki warga Nepal dan seorang lelaki warga Pakistan,” katanya.
Sebanyak enam Borang Imm.29 atau Saman Kepada Saksi turut dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan.
Menurut Garry, operasi itu dilaksanakan bagi membanteras kegiatan pendatang tanpa izin, mengesan pelanggaran syarat pas dan permit serta memperkukuh penguatkuasaan undang-undang imigresen.
Sumber: Bernama
