Lelaki Ditahan Miliki 2,000 Pil Yaba Bernilai RM30,000 Di Gua Musang

Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas kira-kira 2,000 biji pil disyaki dadah jenis Yaba ditemukan dalam kenderaannya di Kilometer 18, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, lelaki berusia 49 tahun itu ditahan sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang ketika pemeriksaan kenderaan sekitar jam 6 petang.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap kenderaan berkenaan membawa kepada penemuan kira-kira 2,000 biji pil disyaki Yaba dengan anggaran berat 200 gram.

Dadah berkenaan dianggarkan bernilai kira-kira RM30,000.

"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan menemukan kira-kira 2,000 biji pil disyaki dadah jenis Yaba dengan anggaran berat 200 gram dan bernilai kira-kira RM30,000.

"Suspek lelaki tempatan berusia 49 tahun dan ujian saringan awal air kencing mendapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sik Choon Foo berkata, suspek turut mengaku barang kes yang dirampas itu adalah miliknya.

Suspek mendakwa bekalan dadah berkenaan diperoleh daripada seorang lelaki di Kota Bharu untuk dihantar ke Ampang, Kuala Lumpur.

Menurut beliau, bekalan tersebut dipercayai untuk diedarkan kepada warga Myanmar dan Bangladesh.

"Siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti individu lain serta sumber bekalan dadah berkenaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sumber: Berita Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!