Dadah Lebih RM57 Juta Dirampas, Dua Suspek Ditahan

Polis menahan dua warga tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM57.15 juta yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dalam satu serbuan di kawasan Parit Amat Laut, Muar semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, ACP Noor Azman Jamal berkata, kedua-dua suspek terdiri daripada seorang lelaki dan wanita berusia 63 dan 43 tahun ditahan dalam serbuan pada jam 12.30 tengah malam.

Operasi itu dijalankan oleh Unit Risik Marin PPM Wilayah Dua Muar bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Muar.

Aktiviti Mencurigakan Dikesan

Menurut beliau, pihaknya terlebih dahulu mengesan beberapa kenderaan serta sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan hasil risikan awal.

“Menerusi pemerhatian awal, dilihat beberapa orang sedang memunggah sejumlah bungkusan disyaki dadah ke dalam bot.

“Pasukan kemudian menyerbu dan menahan dua individu itu yang merupakan penghantar bekalan,” katanya dalam kenyataan.

Rampasan Besar Dadah

Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 517 bungkusan plastik disyaki mengandungi 549 kilogram syabu, 191,268 pil ekstasi serta 4,000 katrij disyaki berisi cecair dadah.

Kesemua bahan tersebut disembunyikan di dalam bot serta but sebuah kereta yang digunakan dalam aktiviti berkenaan.

Turut disita dalam operasi itu ialah sebuah bot fiber dan dua enjin Yamaha Enduro 85 kuasa kuda.

Siasatan Lanjut Dijalankan

Noor Azman berkata, pihaknya sedang menyiasat kemungkinan terdapat individu lain yang terlibat dalam sindiket berkenaan.

Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

Tiga Lelaki Ditahan, Pondok Proses Air Ketum Diserbu PGA Di Tumpat
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan satu kegiatan pemprosesan…
Curi RM50 Tabung Masjid Di Wakaf Bharu, Penganggur Dipenjara Lima Bulan
|
Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah…
Selepas Empat Tahun Berehat, Rahim Maarof Berkeras Mahu Buat Persembahan Di Kota Bharu
|
Empat tahun berehat daripada dunia nyanyian bukanlah tempoh yang…
Penarik Kereta Direman Selepas Disyaki Edar Pil Kuda Bernilai RM61,000 Di Tumpat
|
Seorang duda yang mempunyai dua anak direman selama tujuh…
KRW FC Tangguh Pengambilan Pemain Baharu, Tunggu Isu Teknikal Selesai
|
Ketua Jurulatih Kelantan Red Warriors (KRW) FC, Irfan Bakti…
46 Projek Bernilai RM207.2 Juta Diluluskan Untuk Pasir Puteh
|
Pasir Puteh bakal menerima suntikan pembangunan apabila kerajaan meluluskan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!