Ada ketika peniaga makanan kering di Bazar Siti Fatimah, Rantau Panjang hanya memperoleh keuntungan sekitar RM5 hingga RM10 sehari.
Namun pada usia 66 tahun, Sapinah Abdul Rahman tetap membuka kedainya kerana perniagaan itulah antara sumber pendapatan yang masih ada untuk meneruskan kehidupan.
Foto: Bernama
“Dulu bazar ini sangat meriah, penuh dengan kedai makan dan orang ramai. Sekarang keadaan itu hanya tinggal kenangan. Pelanggan tidak ramai dan kadang-kadang sehari saya hanya dapat untung RM5 hingga RM10.
“Tidak padan dengan masa dan tenaga, tetapi kita tetap kena teruskan hidup,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Dulu Meriah, Kini Makin Sunyi
Rantau Panjang sebelum ini pernah menjadi pekan yang meriah dengan kehadiran pengunjung serta deretan premis perniagaan.
Namun kini, aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan dilihat semakin perlahan, termasuk di Bazar Siti Fatimah.
Tinjauan Bernama mendapati bazar berkenaan lengang pada hari bekerja dengan sebahagian premis tidak beroperasi, manakala aktiviti jual beli juga tidak begitu rancak.
Beberapa bahagian kawasan itu turut kelihatan kurang terurus, termasuk kesan najis burung serta struktur yang menjadi tempat burung membuat sarang.
Keadaan tersebut menyebabkan peniaga dan penduduk berharap pembangunan Rantau Panjang diberi perhatian dalam Belanjawan 2027.
Harapannya bukan sekadar untuk menarik pengunjung, tetapi juga memastikan peniaga kecil terus mempunyai ruang untuk mencari rezeki.
Peniaga Mahu Bazar Ditambah Baik
Menurut Sapinah, kawasan bazar perlu diberi perhatian secara menyeluruh melalui penambahbaikan kemudahan, tarikan baharu dan usaha promosi.
“Kalau ada pembangunan dan tarikan baharu, orang akan datang. Apabila orang datang, peniaga kecil seperti kami pun ada peluang untuk mencari rezeki,” katanya.
Beliau turut berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) memainkan peranan lebih aktif bagi memastikan kawasan itu bersih, terurus dan selesa untuk peniaga serta pengunjung.
“Jangan hanya kutip sewa. Kami harap ada usaha untuk memajukan tempat ini. Kalau tempat ini hidup dan ramai orang datang, peniaga pun boleh berniaga dengan lebih baik,” katanya.
Sewa RM280, Pelanggan Pula Tak Ada
Bagi peniaga pakaian, Kamarudin Jusoh, 60, keadaan berkenaan pernah membuatkannya terfikir untuk berhenti berniaga.
Namun faktor usia serta kesukaran mendapatkan pekerjaan lain menyebabkan dia terus bergantung kepada perniagaan tersebut.
Foto: Bernama
Katanya, dengan sewa kedai sebanyak RM280 sebulan, pendapatan yang diperoleh kini sekadar cukup untuk menampung keperluan harian.
“Saya sudah tua, pernah cuba cari kerja lain tetapi tidak layak. Jadi saya hanya mampu teruskan perniagaan ini. Sewa RM280 sebulan, tetapi pelanggan tidak ada. Saya kais pagi makan pagi sahaja,” katanya.
Kamarudin berharap nasib peniaga kecil di Bazar Siti Fatimah mendapat perhatian menerusi langkah lebih tersusun untuk memulihkan aktiviti ekonomi di Rantau Panjang.
Menurutnya, pembangunan semula kawasan berkenaan bukan sahaja mampu menarik pengunjung, malah memberi peluang kepada peniaga kecil untuk terus mempunyai sumber pendapatan.
Harap Rantau Panjang Kembali Rancak
Kamarudin turut menyuarakan harapan agar pembangunan pekan Rantau Panjang diberi perhatian dalam Belanjawan 2027.
“Saya sangat berharap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat membantu kami. Saya harap pembangunan pekan Rantau Panjang disebut dalam Belanjawan 2027 dan mendapat perhatian Perdana Menteri.
“Harapan kami, pekan ini dapat dihidupkan semula supaya peniaga kecil macam kami boleh terus mencari rezeki dan ekonomi kawasan ini kembali rancak,” katanya.
Bagi peniaga seperti Sapinah dan Kamarudin, menghidupkan semula Rantau Panjang bukan sekadar soal menarik orang datang membeli-belah.
Ia juga berkait rapat dengan kelangsungan hidup peniaga kecil yang masih membuka kedai setiap hari demi mencari rezeki.
Sumber: Bernama
