Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini bakal digantikan dengan kompleks baharu bagi menampung peningkatan pergerakan rentas sempadan susulan pembinaan jambatan kedua Malaysia-Thailand.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Rantau Panjang, Siti Khadijah Hamzah, berkata cadangan pembinaan kompleks baharu itu telah dirancang Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurutnya, proses pengambilan tanah bagi pembangunan tersebut juga telah diselesaikan.
Beliau berkata, kompleks sedia ada yang telah lama beroperasi kini tidak lagi sesuai untuk menampung jumlah pengembara yang semakin meningkat, selain berdepan kekangan dari segi keluasan dan aliran trafik.
“Kompleks yang baharu itu akan dibina dan yang sedia ada akan dirobohkan selepas kompleks baharu siap,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Laluan Masuk Dan Keluar Bakal Dipisahkan
Siti Khadijah berkata pembinaan jambatan kedua di sebelah Thailand dan Malaysia turut sedang dilaksanakan.
Seiring pembangunan itu, kompleks baharu ICQS berkenaan akan direka dengan aliran pergerakan yang lebih teratur.
Antara perancangan utama adalah memisahkan laluan keluar dari Malaysia dan laluan masuk ke negara ini bagi melancarkan pergerakan pengembara.
“Apabila siap nanti, laluan ini akan digunakan untuk masuk dan satu lagi laluan untuk keluar Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata tarikh siap kompleks baharu berkenaan masih belum dapat dipastikan.
Cecah 5,000 Orang Sehari Ketika Waktu Puncak
Menurut Siti Khadijah, pembangunan infrastruktur baharu itu penting memandangkan ICQS Rantau Panjang merupakan antara pintu masuk utama negara yang mencatatkan jumlah pergerakan rentas sempadan yang tinggi.
Jumlah pergerakan keluar masuk di kompleks tersebut boleh mencecah sehingga 5,000 orang sehari ketika waktu puncak, khususnya pada hujung minggu dan cuti umum.
Pada hari biasa pula, jumlahnya sekitar 2,000 hingga 3,000 orang sehari.
Beliau berkata keadaan itu turut menyebabkan kesesakan, terutama ketika hujung minggu, cuti umum dan musim perayaan.
Majoriti pengguna ICQS terdiri daripada rakyat Malaysia dan Thailand.
Rakyat Malaysia lazimnya menggunakan laluan tersebut untuk ke Thailand bagi tujuan rekreasi, menikmati makanan dan bercuti.
Sementara itu, rakyat Thailand pula menggunakan laluan berkenaan bagi urusan harian termasuk membeli barangan dan menjalankan perniagaan.
Semua Kaunter Dibuka Ketika Waktu Puncak
Siti Khadijah berkata pihaknya turut memastikan semua kaunter pemeriksaan imigresen dibuka ketika waktu puncak bagi membantu melancarkan pergerakan pengguna.
“Kita memang buka 100 peratus kaunter, terutama pada Jumaat dan Sabtu. Tiada kaunter yang kosong … ICQS Rantau Panjang mempunyai 12 kaunter pemeriksaan imigresen, masing-masing enam bagi laluan masuk dan enam bagi laluan keluar,” katanya.
ICQS Rantau Panjang merupakan salah satu daripada tiga pintu masuk rasmi Kelantan ke Thailand, selain ICQS Bukit Bunga di Tanah Merah dan ICQS Pengkalan Kubor di Tumpat.
Kompleks berkenaan berfungsi sebagai pusat penyelarasan pemeriksaan dan kawalan keluar masuk negara.
Selain Jabatan Imigresen, ICQS turut menempatkan beberapa agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Kastam, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia serta Jabatan Sukarelawan.
Kedudukannya yang berhadapan dengan Sungai Golok menjadikan ICQS Rantau Panjang antara laluan penting di sempadan Malaysia-Thailand.
Bagaimanapun, kawasan berkenaan turut mempunyai cabaran keselamatan tersendiri termasuk aktiviti penyeludupan dan kemasukan melalui laluan tidak rasmi.
Sumber: Bernama
