Jumlah aduan salah laku membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kelantan meningkat kepada 330 aduan tahun ini berbanding 224 aduan yang direkodkan pada tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, statistik berkenaan perlu dijadikan peringatan kepada seluruh warga pasukan supaya sentiasa mematuhi peraturan, menjaga disiplin dan mengutamakan integriti dalam menjalankan tugas.
Menurutnya, sebanyak 75 kes bagi Kertas Siasatan Tatatertib (KST) direkodkan bagi setiap tahun yang dinyatakan.
Bagaimanapun, jumlah Kertas Enkuiri Tatatertib (KET) menunjukkan penurunan daripada 24 kes kepada 11 kes.
Mohd Yusoff berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) perlu terus memperkukuh pemantauan serta memastikan setiap aduan dikendalikan secara profesional dan adil.
“Justeru, JIPS perlu terus memperkukuh pemantauan, memastikan setiap aduan ditangani secara profesional dan adil, serta meningkatkan usaha pencegahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di Kota Bharu, pada Selasa.
Integriti Bukan Pilihan
Mohd Yusoff turut mengingatkan semua anggota PDRM supaya memahami kepentingan integriti dan akauntabiliti dalam memastikan kepercayaan terhadap pasukan terus terpelihara.
“Saya mahu seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) memahami bahawa integriti bukan pilihan, disiplin bukan beban dan akauntabiliti bukan sekadar prosedur.
“Pangkat memberikan kuasa, tetapi integriti mencerminkan kewibawaan dan maruah seseorang anggota.
“Ingatlah, sehelai benang hitam mampu mencacatkan tenunan putih, begitu juga salah laku seorang pegawai atau anggota, ia mampu membayangi jasa dan pengorbanan ribuan warga pasukan,” katanya.
Beliau menegaskan usaha memperkukuh disiplin dan integriti penting bagi memastikan setiap warga pasukan terus berpegang teguh pada etika serta amanah perkhidmatan.
Sumber: Harian Metro
