Peniaga Rantau Panjang tarik nafas lega, pengunjung kembali ramai

Suasana di Rantau Panjang kembali meriah apabila zon bebas cukai itu sekali lagi dibanjiri pengunjung sempena cuti sekolah, sekali gus memberi kelegaan besar kepada peniaga yang sebelum ini berdepan suasana lengang.

Menurut laporan Berita Harian, tinjauan di pekan berkenaan mendapati jalan raya sesak dengan kehadiran kereta dan bas pelancong dari dalam serta luar Kelantan, selain hampir semua premis perniagaan kembali beroperasi seperti biasa.

Seorang peniaga pakaian, Nurul Nazatul Ain Mah Hussain, 36, berkata kedainya mula kembali hidup sebaik sahaja cuti sekolah bermula, dengan kehadiran pengunjung termasuk perantau yang pulang bercuti ke kampung.

Menurutnya, jumlah pelanggan meningkat mendadak kepada sekitar 50 hingga 70 orang sehari berbanding kurang lima orang pada hari biasa, sekali gus memberi peluang kepadanya menjana semula pendapatan.

“Pada hari biasa, nak dapat RM100 sehari pun belum tentu. Tapi Alhamdulillah, musim cuti sekolah ini memang buat kami boleh ‘bernafas’ apabila pengunjung mula datang membeli-belah.

“Terus terang saya katakan, peniaga di sini memang menunggu musim cuti begini sebab pada hari biasa pekan Rantau Panjang agak sunyi. Ketika itu kami lebih bergantung kepada jualan dalam talian untuk terus bertahan,” katanya ketika ditemui di premisnya di Bazar Puteri.

Nurul turut memaklumkan keadaan semasa yang bebas daripada ancaman banjir menjadi faktor penting yang memberi keyakinan kepada orang ramai untuk berkunjung tanpa rasa bimbang.

Menurutnya lagi, kebanyakan kedai di pekan Rantau Panjang biasanya beroperasi dari jam 9 pagi hingga 5 petang, namun sepanjang cuti sekolah waktu operasi dilanjutkan, manakala beberapa kedai makan dibuka sehingga lewat malam.

Beliau berharap sokongan orang ramai dapat diteruskan agar Rantau Panjang kekal sebagai destinasi membeli-belah pilihan, khususnya sebagai zon bebas cukai di sempadan Kelantan-Thailand.

Sementara itu, seorang pengunjung, Azlan Abu Bakar, 42, berkata beliau bersama keluarga sanggup datang dari Kuala Terengganu untuk membeli-belah kerana tertarik dengan harga barangan yang lebih murah.

“Saya sampai sekitar tengah hari dan memang jelas suasana sesak dengan kereta serta pengunjung. Pada awalnya saya ragu-ragu juga sebab ada yang kata kawasan ini sunyi.

“Tapi bila cuti sekolah, saya bawa keluarga ke sini dan Alhamdulillah masih dapat rasa kemeriahan membeli-belah di pekan sempadan ini,” katanya.



Sumber: Berita Harian

TERKINI

CEO Perbadanan Stadium Malaysia Didakwa Terima Rasuah Lebih RM1 Juta
|
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Iliyas Jamil,…
Ini Senarai 10 Nama Kampung Unik Di Kelantan
|
Kelantan sememangnya terkenal dengan budaya, dialek dan sejarah yang…
Tuan Guru Haji Awang Yusuf Dinobat Tokoh Hijratul Rasul Kelantan 1448H
|
Mudir Madrasah Yusufiah Pondok Banggol Naim Gelang Mas, Pasir…
[VIDEO] Peniaga Peragakan Pakaian Dalam Di Tempat Awam Cetus Kecaman
|
Satu video yang memaparkan seorang peniaga wanita memperagakan pakaian…
Ulama Umno Bidas Senator DAP, Pertahan Program Dakwah Di UPSI
|
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Mohd Khairuddin Aman Razali…
PRU16 Dijangka Diadakan Oktober Atau November Tahun Ini
|
PAS menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan berlangsung…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!