Jangan Hukum Semua Pelarian Rohingya Kerana Kesalahan Segelintir Individu – ABIM

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan bahawa pendirian mereka mempertahankan komuniti pelarian termasuk Rohingya bukan bermaksud menyokong golongan itu secara membuta tuli, lapor Sinar Harian.

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pendirian tersebut dibuat berasaskan prinsip kemanusiaan, keadilan, kedaulatan undang-undang serta keharmonian sosial.

Menurut beliau, ABIM tidak pernah menafikan kemungkinan wujud pelbagai masalah dalam kalangan komuniti pelarian, namun setiap kesalahan perlu ditangani mengikut lunas undang-undang dan bukannya dengan menghukum keseluruhan kelompok.

"Kita mempertahankan mereka dari segi dasar prinsip kemanusiaan dan prinsip keadilan. Pada masa yang sama, kita juga melihat kepada isu-isu berkaitan rule of law dan juga keharmonian sosial."

Beliau berkata demikian ketika mengulas perdebatan berhubung isu pelarian Rohingya yang kembali menjadi perhatian kebelakangan ini.

Salah Laku Perlu Diambil Tindakan

Ahmad Fahmi menjelaskan, ABIM menyokong tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan jenayah, melanggar undang-undang atau mengganggu ketenteraman awam.

Katanya, pertubuhan itu tidak pernah menganggap komuniti pelarian mempunyai imuniti atau kekebalan daripada tindakan undang-undang.

"Sesiapa sahaja yang melakukan kesilapan dalam konteks Malaysia sekarang, tindakan undang-undang perlu dilakukan dan dilihat dalam konteks tersebut."

Namun beliau berpandangan, adalah tidak adil untuk mengaitkan kesalahan segelintir individu dengan keseluruhan komuniti pelarian, terutama wanita, kanak-kanak dan warga emas yang turut berada dalam kelompok tersebut.

Tolak Sentimen Kebencian

Menurut Ahmad Fahmi, antara kebimbangan utama ABIM ialah apabila muncul seruan kebencian, ancaman keganasan dan proses dehumanisasi terhadap komuniti pelarian.

Katanya, walaupun rakyat Malaysia mempunyai hak untuk bimbang mengenai isu keselamatan, ekonomi dan keharmonian sosial, pelarian juga mempunyai hak kemanusiaan yang perlu dipertimbangkan secara adil.

Beliau turut menggesa kerajaan menguruskan isu pelarian secara lebih sistematik menerusi dasar yang jelas, data yang lengkap serta penguatkuasaan yang tegas.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa tidak semua pelarian dari Myanmar adalah Rohingya kerana terdapat juga etnik lain seperti Chin, Kachin dan Shan yang berada di Malaysia.

ABIM turut menekankan kepentingan pendidikan dan tarbiah kepada komuniti pelarian supaya mereka memahami budaya, sensitiviti masyarakat tempatan serta peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang berada di negara ini.


Sumber: Sinar Harian

SHARE

TERKINI

Tiga Lelaki Ditahan, Pondok Proses Air Ketum Diserbu PGA Di Tumpat
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan satu kegiatan pemprosesan…
Curi RM50 Tabung Masjid Di Wakaf Bharu, Penganggur Dipenjara Lima Bulan
|
Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah…
Selepas Empat Tahun Berehat, Rahim Maarof Berkeras Mahu Buat Persembahan Di Kota Bharu
|
Empat tahun berehat daripada dunia nyanyian bukanlah tempoh yang…
Penarik Kereta Direman Selepas Disyaki Edar Pil Kuda Bernilai RM61,000 Di Tumpat
|
Seorang duda yang mempunyai dua anak direman selama tujuh…
KRW FC Tangguh Pengambilan Pemain Baharu, Tunggu Isu Teknikal Selesai
|
Ketua Jurulatih Kelantan Red Warriors (KRW) FC, Irfan Bakti…
46 Projek Bernilai RM207.2 Juta Diluluskan Untuk Pasir Puteh
|
Pasir Puteh bakal menerima suntikan pembangunan apabila kerajaan meluluskan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!