Seorang lelaki yang disyaki aktif mengedar dadah ditahan selepas bertindak agresif dengan mengacu parang ke arah anggota polis ketika serbuan di Kampung Lubok Bongor, Jeli, pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, seorang anggota polis mengalami kecederaan pada jari tengah tangan kiri dan bahu kiri selepas berlaku pergelutan ketika suspek cuba ditangkap.
Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli menyerbu sebuah rumah tanpa nombor di kampung berkenaan.
“Suspek bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah parang yang diselitkan di pinggang sebelum mengacukannya ke arah anggota polis sambil mengeluarkan ugutan untuk menyebabkan kematian.
“Ketika anggota cuba menangkapnya, berlaku pergelutan menyebabkan seorang anggota mengalami kecederaan pada jari tengah tangan kiri dan bahu kiri,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Bagaimanapun, suspek berjaya ditangkap dan keadaan dapat dikawal tanpa melibatkan kecederaan lebih serius.
Polis turut merampas sebilah parang berukuran kira-kira 36 sentimeter termasuk hulu serta satu plastik lutsinar mengandungi enam pil berwarna kemerahan yang disyaki dadah jenis yaba.
“Pil berkenaan ditemukan di dalam sebuah beg pinggang berwarna hitam,” katanya.
Siasatan awal mendapati suspek merupakan individu yang dikehendaki Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Jeli kerana disyaki aktif mengedar dadah di sekitar daerah itu.
“Suspek turut dikehendaki berkaitan satu kejadian pada 19 Ogos lepas apabila dipercayai mengeluarkan ugutan untuk menyebabkan kematian sambil mengacukan parang ketika satu serbuan dijalankan polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Menurut Kamarulzaman, suspek akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.
“Polis tidak berkompromi terhadap sebarang tindakan mengugut, menyerang atau menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam yang sedang menjalankan tugas,” katanya.
Sumber: Bernama
