Polis Buru Wanita Disyaki Dalang Sindiket Dadah RM1.82 Juta Di Kuala Krai

Polis sedang memburu seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang dipercayai menjadi dalang utama sindiket penyeludupan dadah susulan penahanan tiga individu serta rampasan bunga ganja bernilai RM1.82 juta di Kuala Krai minggu lalu.

Wanita berkenaan dipercayai mempunyai dua kerakyatan, iaitu Malaysia dan negara jiran, dan kini dikesan berpangkalan di luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan suspek terbabit.

“Dalang sindiket ini dipercayai seorang wanita berpangkalan di negara jiran. Kita juga sedang menyiasat sama ada dia benar-benar mempunyai dua kerakyatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, hari ini.

Menurut beliau, rampasan dadah berkenaan adalah hasil operasi JSJN Bukit Aman selama empat bulan menerusi Ops Agas, yang mendedahkan sindiket itu dipercayai menyasarkan pasaran antarabangsa.

Operasi berkenaan berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah melalui dua siri serbuan di Kuala Krai pada 3 Januari lalu, dengan tiga lelaki tempatan berusia antara 32 hingga 50 tahun ditahan.

Dalam serbuan pertama, polis mengejar suspek di Jalan Kota Bharu–Gua Musang sehingga berlaku perlanggaran membabitkan sebuah Proton Exora yang dipandu suspek utama. Polis kemudian merampas 320 bungkusan plastik lutsinar berisi bunga ganja seberat 52 kilogram.

Serbuan kedua di Taman Sri Guchil pula menyaksikan polis menahan dua lagi suspek selepas mengejar sebuah Perodua Myvi yang dipercayai digunakan sebagai kenderaan pengangkut.

Nilai keseluruhan dadah dan dua kenderaan yang dirampas dianggarkan RM1.92 juta, dengan nilai pasaran dadah tersebut boleh mencecah puluhan juta ringgit sekiranya terlepas ke pasaran antarabangsa dan berpotensi merosakkan kira-kira 104,000 individu.

Hussein berkata, suspek pertama bertindak sebagai penyelaras dan didapati positif ketamin hasil ujian saringan awal air kencing, manakala dua lagi suspek berperanan sebagai penghantar.

Sindiket itu dipercayai aktif sejak September 2024 dengan modus operandi mengambil bekalan dadah di Pengkalan Jambu, Rantau Panjang sebelum dibawa ke rumah transit di Pulau Gajah, Pengkalan Chepa, Sabak, bagi pasaran tempatan dan luar negara.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama 14 hari sehingga 16 Januari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Hussein memaklumkan JSJN sedang dalam proses menambah keanggotaan bagi memperkukuh operasi membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah, khususnya di negeri-negeri sempadan seperti Kelantan, Kedah dan Perlis.



Sumber: Berita Harian

TERKINI

Uganda Dakwa Sedia Gerakkan 500,000 Tentera Untuk Tawan Iran
|
Ketua tentera Uganda, Jeneral Muhoozi Kainerugaba mencetuskan perhatian antarabangsa…
PGA Rampas 8,000 Pil Yaba Bernilai RM80,000 Di Kebun Sawit Pasir Mas
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas sebanyak 8,000 biji…
Empat Bom Ikan Ditemukan Berhampiran Sempadan Tanah Merah Dimusnahkan
|
Empat objek disyaki bom ikan yang ditemukan berhampiran kawasan…
Iran Bawa Potret Dan Beg Sekolah 165 Murid Terbunuh Terbang Ke Pakistan
|
Tular di media sosial satu hantaran memaparkan ketua delegasi…
Pemilik Restoran Nasi Ulam Cikgu Meninggal Dunia Selepas Rebah Ketika Solat Isyak
|
Pemilik perniagaan terkenal Restoran Nasi Ulam Cikgu di Kampung…
Masih Ada “Buat Darat” Berkumpul Di LTSIP, 16 Kenderaan Disita, 171 Saman Dikeluarkan
|
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan bersama Jabatan Siasatan dan…
Jawatan Kosong Kelantan