Pihak berkuasa Thailand berjaya menggagalkan tiga cubaan menyeludup dadah ke Malaysia menggunakan perkhidmatan kurier di sepanjang sempadan Thailand–Malaysia sejak bulan lalu.
Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha berkata, bungkusan tersebut dihantar dari utara Thailand ke bandar Sungai Golok yang dijadikan lokasi transit sebelum diseludup merentasi sempadan ke Kelantan.
Menurut beliau, kes berkenaan dikesan di daerah Rueso, Rangae dan Sungai Golok yang melibatkan antara 10,000 hingga 500,000 pil yaba.
Dadah berkenaan dipercayai ingin dihantar ke Malaysia.
Sindiket Guna Perkhidmatan Pos Dan Kurier
Prayong berkata, sindiket dadah kini menggunakan perkhidmatan pos dan kurier sebagai modus operandi baharu dengan menghantar dadah dalam bungkusan atau kontena ke alamat kediaman tertentu.
“Tindakan terhadap syarikat kurier sukar diambil kerana sindiket sering menggunakan kad pengenalan milik individu lain ketika menghantar bungkusan,” katanya kepada media Malaysia.
Beliau turut memaklumkan dalam beberapa kes, kakitangan syarikat kurier juga disyaki bersubahat dengan penyeludup, sekali gus menyukarkan usaha pengesanan oleh pihak berkuasa.
Aktiviti Dadah Bergerak Dua Hala
Menurutnya, kebiasaannya dadah dibawa dari utara Thailand ke kawasan sempadan selatan sebelum diseludup masuk ke Malaysia.
Namun terdapat juga situasi di mana dadah dibawa semula masuk ke Thailand apabila sindiket bimbang ia akan dirampas pihak berkuasa.
“Aktiviti penyeludupan dadah sentiasa bergerak di kedua-dua belah sempadan terutama antara Pekan Sungai Golok dan Kelantan,” katanya.
Beliau berkata pil yaba yang juga dikenali sebagai “pil kuda” kebanyakannya dihasilkan di Thailand, manakala dadah jenis methamphetamine atau syabu sering diseludup dari Malaysia ke Thailand.
Rancang Pasang Kawat Duri Di Sempadan
Dalam perkembangan lain, Prayong berkata pihak berkuasa Thailand merancang mengikuti langkah Malaysia dengan memasang pagar kawat duri jenis concertina di sepanjang Sungai Golok yang bersempadan dengan Kelantan.
Menurutnya, pemasangan itu juga akan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau aktiviti di kawasan sempadan.
“Kami merancang memasang kawat duri concertina serta CCTV di kawasan sempadan. Anggota tentera sempadan dan polis akan memantau kawasan tersebut,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Malaysia kerana memasang papan tanda amaran di beberapa pangkalan haram di sepanjang sempadan.
Prayong berkata pihaknya kini turut memberi penerangan kepada penduduk kampung di kawasan sempadan mengenai langkah keselamatan baharu tersebut.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
