Keluarga Allahyarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Aliff Yaacob yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah van polis di Sungkai, Perak, pada 17 November lalu menerima pampasan keseluruhan RM72,500.
BERKAITAN: Anggota Polis Asal Tumpat Maut Van Bawa 11 Anggota Terbabas Di PLUS
Pampasan itu disalurkan oleh Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM) hasil caruman Allahyarham sebagai ahli koperasi serta penyertaan dalam skim insurans kelompok.
Pengerusi KPDRM, Datuk Hussein Omar Khan berkata, beliau bersama Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat turut menziarahi keluarga Allahyarham di Kota Bharu bagi menyampaikan bantuan berkenaan.
Tiga Bentuk Pampasan Diterima Keluarga
Menurut Hussein, jumlah keseluruhan RM72,500 itu merangkumi tiga bentuk bayaran iaitu pampasan insurans kelompok takaful sebanyak RM66,000, khairat kematian takaful RM5,000 dan khairat daripada koperasi sendiri sebanyak RM1,500.
"Pagi ini saya bersama Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat menziarahi keluarga Allahyarham Shahrul Aliff. Kita menyampaikan bantuan daripada koperasi yang mana Allahyarham adalah ahli koperasi dan turut mencarum insurans kelompok.
"Jumlah pampasan yang diterima keluarga Allahyarham membabitkan pampasan insurans kelompok takaful sebanyak RM66,000, khairat kematian takaful RM5,000 dan khairat daripada koperasi sendiri RM1,500.
"Jadi, jumlah keseluruhan kita sampaikan pampasan sebanyak RM72,500," katanya ketika menziarahi keluarga Allahyarham di sini.
123,000 Ahli KPDRM
Hussein yang juga Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berkata, KPDRM kini mempunyai kira-kira 123,000 ahli yang kebanyakannya terdiri daripada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, Ketua Polis Negara juga sudah bersetuju supaya setiap pegawai dan anggota yang baharu menyertai perkhidmatan polis diwajibkan menjadi ahli koperasi berkenaan.
"Mereka juga wajib mencarum sekurang-kurangnya dua unit takaful kelompok.
"Dengan kemudahan skim takaful itu, ia sedikit sebanyak dapat membantu keluarga ahli sekiranya berlaku sebarang kemalangan atau kematian," katanya.
Sumber: Berita Harian
