Kelindan Lori Dipenjara 12 Bulan Selepas Pukul, Ugut Dua Anggota Polis

Seorang kelindan lori dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Macahng pada Isnin selepas mengaku bersalah menghalang tugas dua anggota polis kira-kira tiga minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Aruza Mohamed Zain, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam, iaitu Koperal Anaafiz Ismail dan Konstabel Muhammad Ammar Haziq Roslan, ketika kedua-duanya menjalankan fungsi awam.

Perbuatan itu didakwa berlaku di depan sebuah rumah di Kampung Alor Melaka, Pulai Chondong, kira-kira pukul 7.30 malam pada 19 September 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Tendang Dan Siku Dua Anggota Polis

Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak agresif ketika kedua-dua anggota polis berkenaan ingin membuat pemeriksaan terhadapnya.

Tertuduh didakwa menendang dan menyiku kedua-dua anggota polis sehingga berlaku pergelutan.

Akibat kejadian itu, kedua-dua anggota polis mengalami kecederaan pada bahagian lengan dan lutut.

Selepas ditahan, tertuduh turut mengeluarkan kata-kata kesat serta ugutan terhadap anggota polis.

Antara kata-kata yang dilafazkan ialah ‘menate mu babi, mu lepas lah aku gilo’ selain ugutan dengan berkata ‘takpo lah kawe kenal bini demo, bini demo dok Pulai Chondong ni jah, kawe tak lama kena igat ni, tubik nanti jupoh lah luar’.

Mohon Hukuman Minimum

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hazim Aqifullah Mohd. Amran manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norfaraliyana Othman.

Terdahulu, Ahmad Hazim memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam selain memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan tersebut.

Sementara itu, Norfaraliyana dalam rayuannya memohon hukuman penjara minimum dengan alasan tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan berkenaan.

“Tertuduh yang merupakan duda dan mempunyai empat orang anak masih bersekolah bekerja sebagai kelindan lori dengan pendapatan RM1,000 sebulan. Tahap pendidikan tertuduh juga hanya sehingga tingkatan tiga,” katanya.

Dipenjara 12 Bulan

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap Mohd. Aruza.

Hukuman itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 19 September lalu.

Sumber: Kosmo!

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!