Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan enam lelaki serta merampas 360 tan bijih besi bersama lima kenderaan dan sebuah jentera berat bernilai keseluruhan RM2.98 juta dalam Ops Bersepadu Khazanah di sebuah kawasan perlombongan di Mukim Kuala Nal, Kuala Krai, semalam.
Menurut laporan Bernama, serbuan kira-kira jam 1 tengah hari itu dijalankan anggota Risik Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kelantan hasil maklumat risikan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, sebuah jentera pengorek sedang memindahkan bijih besi ke dalam empat buah mototrailer sebelum operasi dihentikan.
Enam lelaki berusia antara 31 hingga 63 tahun yang terdiri daripada seorang penjaga kawasan, seorang pemandu jentera pengorek dan empat pemandu mototrailer ditahan bagi membantu siasatan.
Hasil semakan mendapati syarikat berkenaan mempunyai permit perlombongan yang masih sah sehingga 13 November 2026. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut oleh PTG mengesahkan aktiviti perlombongan didakwa telah diperluaskan ke kawasan di luar lokasi yang diluluskan mengikut syarat lesen.
Rampasan melibatkan sebuah jentera pengorek Hyundai, empat mototrailer Volvo pelbagai nombor pendaftaran serta 360 tan bijih besi dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2.98 juta.
Kesemua suspek dan barang rampasan telah diserahkan kepada PTG Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001.
Menurut Ahmad Radzi, semua suspek mengaku bekerja di bawah seliaan seorang penyelia yang menguruskan operasi perlombongan di kawasan tersebut.
Siasatan awal turut mendapati bijih besi yang dilombong dipercayai dihantar ke sebuah kilang pemprosesan di Kuantan, Pahang.
Beliau berkata, PGA akan terus memperhebatkan risikan dan pemantauan bagi mengesan sebarang pelanggaran syarat lesen serta membanteras aktiviti perlombongan haram di Kelantan.
Sumber: Bernama
