Lombong Haram Di Gua Musang Diserbu, Tujuh Jentera Bernilai RM4 Juta Disita

Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan menyita tujuh jentera berat bernilai lebih RM4 juta dalam serbuan di sebuah kawasan lombong haram di Kampung Pulai, Gua Musang, pada Ahad.

Dalam operasi yang dijalankan hasil maklumat awam dan risikan itu, tiga lelaki warga China turut ditahan bagi membantu siasatan, manakala beberapa pekerja lain yang dipercayai warga Indonesia berjaya melarikan diri.

Menurut sumber, kegiatan perlombongan haram itu dipercayai dijalankan di kawasan tanah seluas lebih tiga hektar oleh sebuah syarikat dari China.

Siasatan awal mendapati pemilik tanah terbabit mendakwa mempunyai permit melombong sebelum menawarkan kawasan tersebut kepada syarikat berkenaan untuk menjalankan aktiviti perlombongan.

Bagaimanapun, siasatan PTG mendapati pemilik tanah itu tidak mempunyai sebarang permit melombong yang diluluskan oleh PTG. Sebaliknya, dokumen yang diberikan kepada syarikat dari China itu hanyalah surat yang dikeluarkan atas kapasiti beliau sebagai pemilik tanah.

Sehubungan itu, pihak berkuasa kini sedang mengesan pemilik tanah berkenaan bagi membantu siasatan dan percaya aktiviti perlombongan tersebut baru dijalankan sejak kira-kira dua minggu lalu.

Menurut sumber lagi, pihak syarikat mendakwa mereka hanya menjalankan aktiviti perlombongan selama tiga hari, namun perkara itu masih dalam siasatan.

Difahamkan, lombong berkenaan mampu menghasilkan kira-kira 100 gram emas setiap hari.

Antara aset yang disita ialah tiga buah jengkaut, sebuah lori, sebuah jentolak serta sebuah alat jana kuasa.

Kes kini disiasat mengikut Enakmen Mineral 2001 serta undang-undang lain yang berkaitan dengan aktiviti perlombongan haram.

Sumber: Berita Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!