Seorang lelaki yang mesra disapa sebagai Sara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu pada Ahad atas pertuduhan berlagak seperti wanita dengan memakai baju kaftan labuh dan berambut panjang.
Sara atau nama sebenarnya Mohd Hafizam Hamid, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dipinda daripada kesalahan menukar jantina kepada berlagak seperti wanita.
Peguam syarie tertuduh, Muhammad Syarafi Mohd Salleh berkata, pertuduhan asal yang dikemukakan pada Februari lalu mengikut Seksyen 18 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 telah dipinda kepada Seksyen 19(1) enakmen sama.
Menurutnya, pindaan itu dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Syarie Kelantan, Syafika Mat Husin di hadapan Hakim Syarie Wan Mohd Firdaus Wan Ibrahim.
Didakwa memakai kaftan hingga paras kaki
Berdasarkan pertuduhan pindaan, Sara didakwa berlagak seperti wanita dengan memakai baju kaftan panjang hingga paras kaki serta berambut panjang sehingga paras bahu.
Foto: Bernama
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah inap desa di Kampung Hutan Pasir, Ketereh pada jam 12.15 tengah malam, 14 Januari lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Peguam jelaskan sebab pertuduhan dipinda
Mengulas perubahan pertuduhan itu, Muhammad Syarafi berkata pihak pendakwaan mempunyai kuasa untuk meminda pertuduhan selepas meneliti kertas siasatan dan elemen kesalahan.
“Pada Februari lalu, anak guam saya didakwa atas tuduhan menukar jantina.
Foto: Bernama
“Hari ini ditetapkan untuk sebutan semula kes itu, tetapi pihak pendakwaan menukar seksyen dan membacakan semula tuduhan pindaan baharu,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah.
Beliau turut menjelaskan:
“Peruntukan hukuman bagi dua seksyen tersebut adalah sama dan ini lebih pada teknikal.
“Hal yang boleh kami katakan, pertama pihak pendakwaan melihat kepada kertas siasatan, kedua elemen dalam pertuduhan dan ketiga, kuasa yang ada pada pihak pendakwaan untuk membuat pindaan,” katanya.
Menurut Muhammad Syarafi, pihak pembelaan akan meneliti elemen pertuduhan baharu yang dikemukakan terhadap anak guamnya dan bersedia menghadapi proses perbicaraan.
Jaminan RM1,500 dikekalkan
Dalam prosiding sama, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan dua penjamin.
Muhammad Syarafi berkata, jaminan yang telah dibayar ketika pertuduhan asal dikemukakan itu dikekalkan bagi pertuduhan pindaan baharu.
Mahkamah menetapkan 24 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.
Sumber: Sinar Harian
