Tekong Darat Lari Tinggal 14 PATI Myanmar Selepas Diserbu APMM Di Tumpat

Tindakan seorang tekong darat meninggalkan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa membawa kepada penahanan kesemua warga asing tersebut dalam satu operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan pada Rabu lalu.

Serbuan menerusi Op Naga, Op Damai, Op Pelantar Merah dan Op Tiris itu dijalankan di perairan Sungai Kelantan kira-kira jam 11 malam.

Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, pihaknya terlebih dahulu mengesan sebuah bot laju yang bergerak dalam keadaan gelap menuju ke tebing sungai berhampiran Kampung Kedai Buloh, Kota Bharu pada jam 9.58 malam.

Menurut beliau, bot tersebut kemudian dipintas ketika tiba di kawasan tebing Sungai Kutan Hilir, Pasir Pekan dekat Tumpat kira-kira sejam kemudian.

Ditemui Berhimpit Dalam MPV Dan Bersembunyi Dalam Semak

Hasil serbuan, sembilan PATI warga Myanmar ditemui dalam keadaan berhimpit di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.

Lima lagi warga asing pula ditemui bersembunyi di kawasan semak berhampiran tebing sungai berkenaan.

Kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita berusia antara 16 hingga 36 tahun.

“Pemeriksaan lanjut terhadap MPV itu turut menemukan sebuah beg yang mengandungi MyKad milik seorang lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai merupakan tekong darat yang sepatutnya membawa kesemua PATI tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat APMM Kelantan.

Hanya Lima Miliki Pasport

Menurut Kamal, hanya lima daripada PATI yang ditahan memiliki pasport, namun tiada rekod perjalanan sah untuk memasuki Malaysia.

Manakala sembilan lagi individu langsung tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengesan tekong darat yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan masuk warga asing tersebut.

Kesemua PATI yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat APMM Kelantan untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Sumber: Kosmo

SHARE:

TERKINI

KPDN Kelantan Gagalkan Cubaan Seludup Lebih 20 Tan Minyak Masak Ke Thailand
|
Cubaan menyeludup lebih 20 tan metrik minyak masak peket…
KRW FC Umum 23 Penaja Untuk Musim Liga Super 2026/2027
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) memperkenalkan seramai 23…
12 Pasukan Bola Sepak Kelantan Yang Pernah Mewarnai Liga Malaysia
|
Kelantan pernah dikenali sebagai antara negeri yang paling kuat…
Anwar Lancar Avatar AI, Pelawa Rakyat Kongsi Pandangan Secara Terus Di WhatsApp
|
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia,…
Rumah Kedai Sedang Diubah Suai Runtuh, Hempap Dua Kenderaan Di Melaka
|
Suasana tenang di Taman Kota Laksamana, Melaka bertukar cemas…
KRW FC Hantar Dokumen Kepada FIFA, Yakin Sekatan Perpindahan Dapat Diselesaikan
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) memaklumkan telah menghantar…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!