Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditahan berhubung kegiatan sindiket penyeludupan dadah menggunakan aset ketenteraan dipercayai berperanan membawa bekalan bahan terlarang itu dari Lembah Klang ke Sabah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, individu berkenaan merupakan antara anggota sindiket yang mempunyai tugas khusus, termasuk menguruskan penghantaran dadah ke negeri itu.
“Selain menjadi koordinator, dia juga mengangkut bekalan dadah itu dari Lembah Klang ke Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Lawatan Kebajikan dan Penyerahan Replika Cek Insurans Kelompok Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Tengah Geting, Pengkalan Kubor, Tumpat.
Dadah Dipercayai Dihantar Ke Labuan Dan Tawau
Menurut Hussein, siasatan awal mendapati bekalan dadah berkenaan dibawa ke Labuan dan Tawau.
Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan terdapat destinasi lain yang turut menjadi sasaran sindiket berkenaan.
Setakat ini, seramai 13 individu ditahan bagi membantu siasatan, terdiri daripada tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam.
Beberapa individu lain juga sudah dikenal pasti mempunyai kaitan dengan kegiatan itu, namun kedudukan mereka masih dikesan.
Hussein berkata, sindiket terbabit dipercayai mempunyai struktur tersendiri yang merangkumi ketua sindiket, penyelaras, pengangkut dan anggota lain.
Kesemua 13 individu yang ditahan dipercayai sebahagian daripada rangkaian berkenaan.
Siasatan Bermula Daripada Rampasan Enam Kontena
Mengulas perkembangan siasatan, Hussein berkata maklumat mengenai kemungkinan penggunaan aset tentera dalam kegiatan penyeludupan dadah diperoleh susulan tangkapan besar-besaran di Sabah yang membabitkan rampasan enam kontena di Pelabuhan Klang pada Januari lalu.
“Kontena itu dipercayai mengandungi dadah untuk dihantar ke Teluk Sepanggar, Sabah.
“Polis memperoleh maklumat lebih kukuh pada Julai sebelum membuka kertas siasatan, diikuti tindakan risikan dan pemantauan sehingga membawa kepada insiden terbaharu di Subang,” katanya.
Dadah Ditemui Dalam Bagasi Di Pangkalan Udara Subang
Minggu lalu, polis membongkar kegiatan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai menggunakan kemudahan pengangkutan ketenteraan menerusi operasi di Lembah Klang dan Labuan.
Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin sebelum ini memaklumkan penahanan 13 individu susulan penemuan dadah yang disembunyikan di dalam lima bagasi dan sebuah kotak di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, Selangor.
Dadah berkenaan dikesan menerusi pemeriksaan rutin terhadap barangan sebelum dimuatkan ke dalam pesawat TUDM.
Kejadian itu disifatkan sebagai kes pertama seumpamanya yang berjaya dipatahkan menerusi prosedur pemeriksaan berkenaan.
Sumber: Bernama
