Guru Agama Wanita Didakwa Amang Seksual Pelajar Lelaki 16 Tahun

Seorang guru agama wanita berusia 48 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga ibu kepada enam anak didakwa melakukan perbuatan berkenaan di dalam sebuah bilik di sebuah sekolah menengah dalam daerah Kinta antara November hingga Disember 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Pendakwa mohon tiada jaminan

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin memohon supaya mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh atas alasan kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam Amira Sofea An-Nur Ahmad Basri yang mewakili tertuduh memohon supaya mahkamah membenarkan jaminan.

Peguam memaklumkan tertuduh yang telah berkahwin dan mempunyai enam anak berusia antara lapan hingga 22 tahun merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarga.

Mahkamah turut diberitahu anak tertuduh masih bersekolah, manakala suaminya tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

Selepas mempertimbangkan permohonan berkenaan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 28 Oktober depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!