‘Skodeng’ Isteri Jiran Mandi, Peniaga Ikan Di Kuala Krai Didenda RM5,000

Seorang peniaga ikan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Krai hari ini selepas mengaku bersalah mengintai isteri jirannya ketika mandi secara berulang kali pada hujung bulan lalu.

Tertuduh, Tuan Ahmad Farid Tuan Mat, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menghendap secara berulang kali dengan cara berlegar-legar di kediaman seorang wanita berusia 26 tahun sebelum mengintai melalui celahan lantai kayu di bahagian bawah rumah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan niat untuk menyebabkan atau mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa tindakannya menyebabkan mangsa mengalami ketakutan, kerisauan atau kebimbangan terhadap keselamatan diri.

Kesalahan berkenaan dilakukan di sebuah rumah di daerah Kuala Krai kira-kira jam 11.30 pagi pada 28 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 507A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Mangsa Ternampak Tertuduh Di Bawah Rumah

Berdasarkan fakta kes, mangsa ternampak kelibat Tuan Ahmad Farid berada di bawah lantai bahagian dapur rumahnya sambil mengintai dari arah tersebut.

Mangsa mengenali lelaki berkenaan kerana tertuduh tinggal bersebelahan rumahnya.

Dalam kejadian lain, ketika mangsa sedang mandi di dalam tandas, wanita itu turut ternampak tertuduh mengintai melalui celahan ruang udara di dalam bilik air.

Mangsa kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada suaminya.

Suaminya pula memaklumkan kejadian berkenaan kepada tertuduh, namun Tuan Ahmad Farid terus melarikan diri.

Peguam Mohon Denda Minimum

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd Noor mencadangkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam serta sebagai pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farazalila Fauzi memohon supaya mahkamah mengenakan denda minimum.

“Tertuduh juga perlu menanggung ibunya berusia 66 tahun yang menghidap kanser. Pengakuan salah tertuduh menjimatkan masa dan kos semua pihak,” katanya.

Peguam turut memaklumkan tertuduh masih bujang dan bekerja sebagai peniaga ikan dengan pendapatan kira-kira RM50 sehari.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM5,000 dan penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tuan Ahmad Farid kemudian membayar denda yang ditetapkan mahkamah.

Sumber: Kosmo!

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!