Persis Binatang, Lelaki Rogol Dan Samun Di Palekbang Rupanya Berdepan 2 Lagi Kes Libatkan Mangsa Bawah Umur
Kes rogol dan samun kejam membabitkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun ketika berjoging di Kampung Mesira, Palekbang, Tumpat bulan lalu rupa-rupanya bukan satu-satunya jenayah yang dikaitkan dengan tertuduh.
BERKAITAN: Kes Rogol, Samun di Tumpat: Mekanik Dipenjara 20 Tahun, 7 Sebatan
BERKAITAN: Remaja 15 Tahun Disamun, Dirogol Ketika Joging Bersama Adik Di Palekbang
Menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), lelaki berusia 23 tahun itu turut didakwa atas dua lagi pertuduhan amang seksual fizikal membabitkan dua mangsa bawah umur dalam dua kejadian berasingan.
Pada Isnin, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas atas beberapa pertuduhan melibatkan amang seksual fizikal, rogol dan samun bersenjata.
Bagi kes rogol dan samun di Palekbang pada 17 Jun lalu, tertuduh mengaku bersalah.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan 20 tahun dan tujuh sebatan selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan merogol serta menyamun mangsa.
Kanak-Kanak 7 Tahun Didakwa Jadi Mangsa Pertama
Menurut JSJ PDRM, kejadian pertama berlaku pada 16 April apabila tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di kawasan semak berhampiran sebuah sekolah rendah di Chetok.
Mangsa kemudian ditemui oleh orang awam sebelum diserahkan kepada bapanya yang sedang menunggu di kawasan sekolah.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Ditahan Menerusi Op Sentap
JSJ PDRM memaklumkan, tertuduh berjaya diberkas menerusi Op Sentap yang dijalankan Bahagian Siasatan Khas D9 IPK Kelantan bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tumpat dan IPD Pasir Mas.
Lelaki itu ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Chat Tok Uban, Pasir Mas pada tengah hari 7 Julai.
Di mahkamah, tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan rogol dan samun sebelum dijatuhi hukuman penjara 20 tahun serta tujuh sebatan.
BERKAITAN: Remaja 15 Tahun Dipukul Dengan Kayu Sebelum Dirogol Dan Di Samun Di Tumpat
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan berada di bawah pemantauan selama tiga tahun selepas tamat menjalani hukuman.
Bagaimanapun, bagi dua pertuduhan amang seksual fizikal membabitkan dua mangsa bawah umur, tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.
Mahkamah menetapkan 19 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kedua-dua kes tersebut.
Sumber: Jabatan Siasatan Jenayah - JSJ PDRM
