Bekas Pakar Bius Dari Bachok Kini Tenang Ternak Kambing

Jika dahulu hidupnya dipenuhi tekanan dan detik cemas di bilik pembedahan, kini seorang bekas pakar bius jantung Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) memilih laluan lebih tenang dengan menceburi bidang penternakan biri-biri dan kambing.

Dr Saedah Ali, 59, yang mula berkhidmat sebagai doktor perubatan sejak 1992 dan pernah merintis perkhidmatan pembedahan jantung di HPUSM pada 2001, mula serius dalam dunia penternakan pada Jun 2018 sebelum bersara pilihan pada 2022.

Dari tanah terbiar kepada ladang ternakan

Beliau berkata, minat terhadap penternakan bermula apabila melihat tanah pusaka arwah bapanya seluas 2.5 ekar yang sebelum ini terbiar dan dipenuhi semak samun.

Pada awalnya, tanah tersebut hanya disewakan kepada penduduk kampung, namun lama-kelamaan beliau mengambil keputusan untuk mengusahakan sendiri ladang ternakan sebagai aktiviti sampingan.

Doktor Saedah Ali


Menurutnya, selain faktor minat, ia juga didorong oleh rasa ingin menghidupkan semula tanah berkenaan yang sebelum ini tidak digunakan.

Menternak jadi terapi selepas bertahun dalam dunia perubatan

Dr Saedah berkata, pengalaman menguruskan haiwan ternakan memberi ketenangan yang berbeza berbanding tekanan ketika bertugas sebagai doktor.

Beliau mengakui, walaupun bidang penternakan memenatkan terutama apabila haiwan sakit atau beranak pada waktu malam, ia tetap dianggap sebagai terapi minda.

Bermula dengan hanya lapan ekor kambing, ladang berkenaan kini berkembang kepada kira-kira 250 biri-biri dan 90 kambing.

Fokus baka premium dan pengurusan makanan sendiri

Antara fokus utama ladang tersebut ialah baka biri-biri Dorper yang terkenal sebagai baka pedaging premium, selain kambing Boer dan kacukan Boer.

Sebahagian besar induk biri-biri juga diimport dari Australia bagi memastikan kualiti ternakan lebih baik.

Bagi mengurangkan kos operasi, lebih 70 peratus makanan ternakan dihasilkan sendiri termasuk rumput Napier, rumput minyak dan silaj.

Cabaran industri ternakan tempatan

Dalam masa sama, beliau tidak menafikan industri penternakan tempatan berdepan cabaran termasuk lambakan kambing import murah yang menjejaskan penternak tempatan.

Dr Saedah Ali HPUSM Kubang Kerian


Menurutnya, keadaan itu menyebabkan ramai penternak terpaksa menghentikan operasi kerana kos tidak lagi mampu ditampung oleh harga pasaran semasa.

Selain itu, faktor cuaca serta kenaikan harga makanan ternakan turut memberi kesan kepada industri.

Harap kawalan lebih baik lindungi penternak tempatan

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa dapat mempertimbangkan kawalan lebih ketat terhadap kemasukan bekalan ternakan luar bagi melindungi industri tempatan dan jaminan keselamatan makanan negara.

Selain itu, ladangnya turut membuka peluang pekerjaan kepada komuniti termasuk banduan parol melalui kerjasama inisiatif sosial sejak dua tahun lalu.

Ladang tersebut juga menjadi lokasi latihan amali pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi dan teknikal.

Sokongan keluarga dan nasihat untuk profesional

Dr Saedah turut menyifatkan kejayaannya banyak dibantu sokongan suami yang juga pakar perubatan di HPUSM.

Beliau dalam masa sama menasihatkan golongan profesional supaya mempunyai aktiviti luar bagi mengelakkan tekanan kerja berlebihan.

Menurutnya, aktiviti seperti berkebun, memancing atau menternak mampu membantu keseimbangan hidup serta kesihatan mental jangka panjang.


Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

PGA Rampas 8,800 Helai Kain Batik Seludup Bernilai RM1.76 Juta Di Tumpat
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk…
Kali Pertama Seludup Arak Dari Thailand, Dua Lelaki Dicekup PGA Di Rantau Panjang
|
Cubaan pertama dua lelaki untuk menyeludup masuk minuman keras…
Ketua Jurulatih Senegal Tegas Utamakan Kewajipan Solat
|
Ketika ramai pasukan memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi…
Rupanya Ini Sebab Bendera Arab Saudi Tidak Pernah Diletakkan Di Atas Padang Piala Dunia
|
Setiap kali aksi Piala Dunia 2026 berlangsung, perhatian peminat…
Istilah Rohingya Hanya Muncul Sekitar 1950an, Dari Mana Datangnya Etnik Ini Sebenarnya?
|
Istilah “Rohingya” hari ini dikenali di seluruh dunia sebagai…
Penerbangan Sulung Kota Bharu-Jakarta Cipta Sejarah Baharu Buat Kelantan
|
Sejarah baharu tercipta apabila penerbangan sulung AirAsia bagi laluan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!