Dari Wakaf Bharu kini tembusi lebih 20 negara, wanita Kelantan buktikan produk dari rumah boleh mendunia

KOTA BHARU, 26 Oktober 2025 – Bermula secara kecil-kecilan dengan modal hanya RM300, usahawan wanita dari Kelantan, Tengku Norhanim Tengku Othman, membuktikan produk snek berasaskan coklat dan bijirin tempatan mampu menembusi lebih 20 negara di seluruh dunia.

Pengasas NIMS Adeliciousz Sdn Bhd yang berusia 35 tahun itu berkata, beliau memulakan perniagaan pada tahun 2014 dari rumahnya di Wakaf Bharu, Tumpat, hasil dorongan suami, Faiz Hussamuddin, 37, dan menjual produknya secara dalam talian.

“Produk kami mendapat sambutan tinggi daripada pelanggan di Thailand. Namun pada penghujung 2014, saya mengalami kerugian antara RM20,000 hingga RM30,000 apabila semua barangan jualan ditenggelami air ketika banjir besar melanda Kelantan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Tidak mudah mengalah, Tengku Norhanim bangkit semula pada tahun berikutnya dan berjaya mengembangkan perniagaannya, dengan jualan pernah mencecah RM500,000 sebulan pada 2018.

Beliau kemudian memperkenalkan inovasi baharu dengan menghasilkan produk snek berasaskan coklat dan bijirin, seiring perubahan cita rasa pengguna.

“Ketika pandemik COVID-19, produk kami mencatat permintaan luar biasa sehingga berjaya membina rangkaian lebih 30,000 ejen di seluruh negara,” katanya yang kini memiliki kilang pengeluaran sendiri di Meru, Klang, Selangor.

Menurutnya, produk keluaran NIMS Adeliciousz dikenali kerana rasa unik dan tekstur rangup, selain mengikuti trend inovasi makanan snek masa kini. Antara produk terbaharu termasuk sapuan coklat susu dan bijirin serta sapuan coklat berperisa pistachio.

Tahun 2022 menjadi titik perubahan besar apabila produk kami mula dipasarkan di pasar raya besar dalam negara dan seterusnya menembusi pasaran eksport di lebih 20 negara termasuk Amerika Syarikat, Thailand, Singapura dan Filipina,” katanya.

Tengku Norhanim berkata, kunci kejayaannya adalah ketekunan dan semangat untuk tidak mudah berputus asa.



“Kalau jatuh, bangun balik. Matlamat saya ialah menjadikan produk snek halal tempatan bertaraf antarabangsa dan membawa nama Malaysia ke pasaran global,” katanya.

#KelantanDaily
Sumber: Bernama

TERKINI

12 Pasukan Bola Sepak Kelantan Yang Pernah Mewarnai Liga Malaysia
|
Kelantan pernah dikenali sebagai antara negeri yang paling kuat…
Anwar Lancar Avatar AI, Pelawa Rakyat Kongsi Pandangan Secara Terus Di WhatsApp
|
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia,…
Rumah Kedai Sedang Diubah Suai Runtuh, Hempap Dua Kenderaan Di Melaka
|
Suasana tenang di Taman Kota Laksamana, Melaka bertukar cemas…
KRW FC Hantar Dokumen Kepada FIFA, Yakin Sekatan Perpindahan Dapat Diselesaikan
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) memaklumkan telah menghantar…
JAKIM Nafi Iktiraf Sijil Nikah Rohingya, Guna Nombor Rujukan Palsu
|
Dakwaan mengenai sijil perakuan nikah melibatkan etnik Rohingya yang…
Suami Isteri Ditahan Disyaki Guna Dron Seludup Tembakau Ke Penjara
|
Cubaan menyeludup tembakau ke dalam Penjara Sungai Udang, Melaka…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!