KOTA BHARU – Keberanian seorang anak jati Jelawat, Bachok dalam meneroka bidang ternakan premium membuka lembaran baharu apabila beliau berjaya membangunkan ladang lembu Wagyu pertama di Kelantan.
Paizol Akman Awang, 52, pada mulanya hanya menjadikan ternakan Wagyu sebagai hobi sekitar 2022, namun kini projek itu berkembang menjadi perusahaan komersial dengan lebih 120 ekor lembu diternak di lima lokasi termasuk Seneng dan Wakaf Aik di Bachok, Wakaf Bharu di Tumpat, Pantai Cahaya Bulan serta tapak utama di Seribong.
“Modal permulaan saya sebanyak RM1.7 juta digunakan untuk membeli baka Wagyu black Japanese hitigashi dari Universiti Saranare, Surin, Thailand.
Ketika itu saya membeli 40 ekor lembu terdiri daripada 17 betina dan 23 jantan,” katanya ketika ditemui di ladang Kelfarm di Seribong.
Paizol yang juga Pengarah Eksekutif Kelfarm berkata, projek ternakan itu semakin berkembang dengan pembinaan kandang tertutup bernilai RM1 juta hasil dana Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
Kandang berkeluasan 112 meter persegi itu dibangunkan di atas tanah 5.3 hektar di Seribong dan menjadi kandang kelima projek berkenaan.
Beliau mengakui cabaran terbesar dalam industri ternakan premium ini adalah kos makanan seperti dedak bali dan jagung, selain memerlukan penjagaan rapi.
Seekor lembu Wagyu biasanya mengambil masa 30 bulan sebelum boleh dipasarkan dengan kos penjagaan sekitar RM15,000 seekor.
Namun, harga jualan mampu mencecah antara RM45,000 hingga RM50,000 bergantung kepada kualiti daging.
“Kesihatan lembu sentiasa dipantau dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar termasuk pemberian vaksin dan vitamin secara berkala. Kami juga menanam rumput napier sebagai makanan tambahan,” jelasnya.
Kini, projek Kelfarm yang mempunyai lebih 30 pekerja bukan sahaja mengangkat industri ternakan Wagyu di negeri ini, malah turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Paizol yang berpengalaman sebagai kontraktor berkata minat dan keyakinannya terhadap potensi pasaran daging Wagyu mendorong beliau menceburi bidang ini walaupun masih baharu di Kelantan.
“Saya berharap usaha ini mampu bertahan lama dan memberi impak positif terhadap ekonomi negeri. Pada masa sama, saya mahu ia menjadi inspirasi kepada anak muda Kelantan untuk berani mencuba bidang penternakan bernilai tinggi,” katanya yang juga bapa kepada enam anak berusia antara 14 hingga 26 tahun.
#KelantanDaily
Sumber: Sinar Harian
