Dua Ketua Balai Polis Di Kelantan Terima Surat Teguran

Dua ketua balai polis di Kelantan menerima surat teguran selepas gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk menangkap seorang penagih dadah setiap hari dalam tempoh seminggu.

Ketetapan itu merupakan sebahagian daripada pelan strategik membanteras penyalahgunaan dadah yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bermula 15 Julai lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, surat teguran berkenaan diberikan sebagai langkah awal bagi memastikan anggota terbabit menjalankan tanggungjawab dan menjayakan misi membanteras penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, ketua balai yang gagal mencapai sasaran turut diberikan tempoh untuk memperbaiki pencapaian masing-masing.

Wajib Tangkap Seorang Penagih Dadah Setiap Hari

Mohd. Yusoff menjelaskan, setiap ketua balai polis diwajibkan memastikan sekurang-kurangnya seorang penagih dadah ditangkap setiap hari.

Jelasnya, sasaran itu bermakna sebanyak tujuh suspek perlu ditangkap dalam tempoh seminggu.

“Saya tidak zalim. Kita beri surat teguran dahulu sebelum tindakan dilakukan. Sebagai contoh, tangkapan penagih dadah diwajibkan seorang setiap hari, jadi mesti ada tujuh suspek sepanjang tempoh tersebut.

“Jika hari ini kosong (tangkapan), ketua balai perlu pastikan esok dua. Jadi, dua ketua balai yang menerima surat teguran ini tidak menangkap penagih dadah dalam tempoh seminggu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Tujuh Balai Gagal Capai KPI

Dalam perkembangan sama, Mohd. Yusoff memaklumkan bahawa setakat ini, terdapat tujuh balai polis yang gagal mencapai KPI tangkapan seorang penagih dadah setiap hari.

Katanya, ketua balai yang tidak mencapai sasaran tersebut kini berada dalam pemantauan IPK Kelantan.

“Pasukan khas IPK Kelantan akan turun ke kawasan balai berkenaan sekiranya tiada tangkapan direkodkan. Jika IPK dapat tangkap, ketua balai berkenaan akan kena tindakan. Maknanya mereka tidak buat kerja,” ujarnya.

56 Ketua Balai Terlibat Dalam Pelan Strategik

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan bahawa IPK Kelantan menetapkan kewajipan kepada 56 ketua balai polis di negeri ini untuk menangkap seorang penagih dadah setiap hari bermula 15 Julai lalu.

Mohd. Yusoff berkata, ketetapan tersebut dibuat kerana balai polis mempunyai sektor-sektor tertentu yang dekat dengan masyarakat.

Keadaan itu, katanya, dapat memudahkan proses mengenal pasti dan membuat tangkapan terhadap individu yang terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

Sumber: Kosmo!

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!