Ketua Polis Balai di Kelantan Wajib Buat Sekurang-kurangnya Satu Tangkapan Dadah Sehari

Polis Kelantan memperkenalkan strategi baharu dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah dengan mewajibkan setiap Ketua Polis Balai atau OCS melakukan sekurang-kurangnya satu tangkapan berkaitan dadah setiap hari.

Arahan itu mula dilaksanakan pada 15 Julai lalu selepas statistik menunjukkan jumlah kes dan tangkapan berkaitan dadah mengalami penurunan, walaupun operasi penguatkuasaan telah dipertingkatkan.

Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sebanyak 13,957 kes dadah direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, menurun 13 peratus berbanding 15,051 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Jumlah tangkapan juga berkurang 10 peratus kepada 14,640 orang berbanding 16,182 orang sebelum ini.

“Kita ubah konsep. OCS perlu memainkan peranan di kawasan masing-masing kerana mereka sepatutnya mengetahui lokasi penagih dan kegiatan dadah di bawah pentadbiran mereka.

“Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah pula akan memberi fokus kepada pembekal dan pengedar, manakala Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK memberi tumpuan kepada sindiket lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Keberkesanan Dinilai Selepas Tiga Bulan

Mohd Yusoff berkata, keberkesanan strategi baharu itu akan dinilai selepas tiga bulan melalui proses semakan dan bedah siasat terhadap operasi yang dijalankan.

Menurutnya, tindakan tatatertib juga akan dipertimbangkan terhadap pegawai atau anggota yang gagal mencapai sasaran ditetapkan.

Pembahagian tugas itu menyaksikan Ketua Polis Balai memberi tumpuan kepada kegiatan dadah dalam kawasan pentadbiran masing-masing, manakala Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah memfokuskan pembekal dan pengedar.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di peringkat IPK pula akan memberi perhatian terhadap sindiket dadah berskala lebih besar.

Kes Penipuan Meningkat Lebih 100 Peratus

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Yusoff memaklumkan kes penipuan komersial atau scam di Kelantan meningkat lebih 100 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Sebanyak 1,480 kes dengan kerugian RM23.6 juta direkodkan, berbanding 732 kes melibatkan kerugian RM17 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

“Antara kes yang kerap dilaporkan ialah penipuan pelaburan, love scam, phone scam, tawaran pekerjaan, pinjaman tidak wujud dan pembelian dalam talian,” katanya.

Polis akan terus mempergiatkan kempen kesedaran menerusi media sosial, selain berharap pengamal media dapat membantu mendidik masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan pelbagai bentuk penipuan.

Sumber: Bernama

TERKINI

Kelantan RW Bertemu Selangor FC Dalam Aksi Pembukaan Liga Super
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) bakal membuka kempen…
Ketua Polis Balai di Kelantan Wajib Buat Sekurang-kurangnya Satu Tangkapan Dadah Sehari
|
Polis Kelantan memperkenalkan strategi baharu dalam usaha membanteras penyalahgunaan…
Tiga Lelaki Maut, Lori Ayam Rempuh Treler di Tanah Merah
|
Perjalanan tiga lelaki membawa bekalan ayam dari Perak ke…
Persis Binatang, Lelaki Rogol Dan Samun Di Palekbang Rupanya Berdepan 2 Lagi Kes
|
Persis Binatang, Lelaki Rogol Dan Samun Di Palekbang Rupanya…
Lelaki Maut Dilanggar Lari Ketika Pasang Bendera Parti
|
Seorang lelaki maut selepas dipercayai dilanggar sebuah lori yang…
SPRM Kelantan Tahan Ketua Balai Polis, Direman 7 Hari Kes Rasuah RM500
|
Seorang ketua balai polis direman selama tujuh hari bermula…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!