Ops Taring Wawasan Kelantan Catat Rampasan RM82.89 Juta

Operasi Taring Wawasan Kelantan (OTWK) yang dilaksanakan Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan nilai keseluruhan rampasan RM82.89 juta dengan 1,740 tangkapan bagi tempoh 1 Januari hingga 4 Oktober tahun ini.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, pencapaian itu membabitkan 1,500 kes di bawah pelbagai akta termasuk kesalahan berkaitan penyeludupan barangan, dadah, imigresen dan jenayah rentas sempadan.

Kes Imigresen Catat Tangkapan Tertinggi

Menurut beliau, Akta Imigresen 1959/63 merekodkan jumlah tangkapan tertinggi apabila 840 individu ditahan menerusi 383 kes.

Daripada jumlah itu, 649 merupakan lelaki manakala 191 wanita.

Sebanyak 52 kenderaan turut dirampas dengan nilai RM2.24 juta.

“Nilai rampasan kenderaan dan barangan bagi kes di bawah Akta Imigresen 1959/63 masing-masing berjumlah RM2.24 juta dan RM330,000, menjadikan keseluruhan rampasan berkaitan akta berkenaan sebanyak RM2.57 juta,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dadah Antara Kes Utama

Ahmad Radzi berkata, Akta Dadah Berbahaya 1952 merekodkan jumlah kes kedua tertinggi dengan 279 kes.

Kes berkenaan melibatkan 163 tangkapan dan 36 kenderaan.

Sementara itu, Akta Kawalan Bekalan 1961 mencatatkan 206 kes dengan 126 tangkapan serta 136 kenderaan.

Menurut Ahmad Radzi, pencapaian berkenaan mencerminkan skala tindakan penguatkuasaan OTWK dalam membanteras pelbagai kegiatan menyalahi undang-undang di kawasan operasi.

Beliau berkata, PGA akan terus memperkukuh risikan, rondaan dan kawalan di laluan tikus serta kawasan sempadan Kelantan.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!