PDRM Kelantan Catat Penurunan Jenayah Indeks Dan Kes Narkotik

Kadar jenayah indeks di Kelantan terus menunjukkan trend positif apabila merekodkan penurunan 7.6 peratus bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Menurut laporan Bernama, sebanyak 891 kes direkodkan dalam tempoh tersebut berbanding 964 kes bagi tempoh sama tahun lalu, sekali gus mencatatkan pengurangan sebanyak 73 kes.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pencapaian itu membuktikan strategi, komitmen serta tindakan berterusan yang dilaksanakan Polis Kontinjen Kelantan berada di landasan yang tepat.

“Secara pecahan, jenayah kekerasan menurun daripada 246 kes kepada 202 kes, iaitu pengurangan sebanyak 44 kes atau 17.9 peratus, manakala jenayah harta benda berkurangan daripada 718 kes kepada 689 kes, iaitu penurunan sebanyak 29 kes atau empat peratus.

"Bagaimanapun, penurunan ini bukan alasan untuk kita berasa selesa. Sebaliknya, ia menjadi pemangkin untuk terus mempertingkatkan usaha kerana apa yang diperjuangkan bukan sekadar penurunan angka, tetapi keselamatan, kesejahteraan dan keyakinan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Kes Narkotik Turut Menurun

Mohd Yusoff berkata, bagi tempoh sama, kes jenayah narkotik turut mencatatkan penurunan sebanyak 13 peratus kepada 12,051 kes berbanding 13,957 kes pada tahun lalu.

Jumlah tangkapan berkaitan kesalahan narkotik juga menurun sebanyak 10 peratus, iaitu daripada 14,640 orang kepada 13,182 orang.

Namun begitu, nilai rampasan dadah menunjukkan peningkatan apabila mencecah RM15.7 juta, meningkat 17 peratus berbanding RM13.37 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurut beliau, peningkatan nilai rampasan itu mencerminkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan dalam mengekang aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah di negeri ini.

Polis Akan Panggil Ibu Bapa Penunggang Lumba Haram

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff berkata Polis Kontinjen Kelantan akan mengambil pendekatan baharu bagi menangani kegiatan lumba haram.

Katanya, selain operasi penguatkuasaan, pengeluaran saman dan penyitaan motosikal, polis akan mengadakan sesi pertemuan bersama ibu bapa penunggang yang terlibat.

Beliau berkata langkah itu diambil selepas tindakan penguatkuasaan sedia ada didapati masih belum berjaya membendung sepenuhnya kegiatan lumba haram.

Menurutnya, operasi membanteras lumba haram dijalankan hampir setiap minggu di beberapa lokasi termasuk di Lebuh Raya Kota Bharu–Kuala Krai berhampiran Chicha.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!