Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan malam ini menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pendaki lelaki yang terpisah daripada kumpulannya di hutan berhampiran Kem Tudung Periuk, Gua Musang.
Mangsa, Muhammad Asrul Quy yum Asmmuddin, 23, dilaporkan terjatuh ke kawasan curam selepas tergelincir daripada laluan pendakian.
Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius dan masih mampu berjalan.
Mangsa Masih Boleh Dihubungi
Jurucakap JBPM Kelantan berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kelantan berjaya menghubungi mangsa selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu.
Mangsa turut menghantar lokasi kedudukannya melalui aplikasi WhatsApp.
Bagaimanapun, liputan telefon di kawasan berkenaan dilaporkan tidak stabil.
“Mangsa mempunyai lampu suluh dan wisel serta baki bateri telefon pintar sekitar 75 peratus.
“Beliau diarahkan supaya kekal di lokasi sementara menunggu pasukan SAR tiba, selain menjimatkan penggunaan bateri telefon dan lampu suluh,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Bomba Gerakkan Dua Kenderaan
JBPM menerima panggilan berhubung kejadian pada kira-kira 8.08 malam.
Susulan itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang menggerakkan sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan Hilux ke lokasi.
Lokasi kejadian dianggarkan kira-kira 116 kilometer dari balai berkenaan.
Operasi SAR kini digerakkan bagi mengesan dan membawa keluar mangsa yang masih berada di kawasan hutan tersebut.
Sumber: Bernama
